MSI ialah sebuah jenama komputer yang cukup terkenal untuk komponen, desktop dan komputer riba mereka bukan sahaja untuk golongan gamer, tetapi mereka yang mementingkan produktiviti juga. Jika sebelum ini kita dapat lihat bahawa siri MSI Creator mereka dibangunkan untuk mereka yang mahukan prestasi produktiviti dan kebolehan untuk bergerak ke mana-mana, mereka telah melanjutkan penawaran model tersebut ke arena desktop pula.
MSI baru sahaja mengumumkan ketibaan gabungan komputer desktop dan paparan skrin MSI Creator P50 dan MSI Summit MS321 untuk golongan profesional yang mahukan sebuah komputer desktop yang berkuasa, dan hadir dengan rekaan yang minimalis dan padat.

Dari segi spesifikasi, MSI Creator P50 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-11700, menggunakan memori DDR4 dengan pilihan sehingga 64GB dan mempunyai satu slot SSD NVMe PCIe, satu slot untuk cakera keras.
Penawaran kad grafik untuk komputer ini juga agak menarik dimana ia dilengkapi dengan beberapa pilihan, sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 3060. Konfigurasi ini cukup berkuasa untuk membolehkan pengguna bukan sahaja menggerakkan permainan moden, tetapi juga menggunakan perisian produktiviti yang memerlukan kebolehan pengolahan menggunakan kuasa grafik.
Rekaan komputer ini cukup padat sekali, dengan ketinggian 73mm sahaja apabila ditegakkan, menjadikannya sebuah pilihan yang baik bagi mereka yang mahu ruang yang lebih banyak untuk benda-benda lain. Ia juga hadir dengan perisian MSI Center yang memudahkan pengguna untuk meningkatkan prestasi komputer ini sekiranya ia diperlukan.

MSI Summit MS321 ialah paparan skrin IPS bersaiz 32 inci dengan resolusi 4K yang boleh memperlihatkan 132 peratus daripada gamut warna sRGB dan 95 peratus daripada gamut warna DCI-P3 yang secara lazimnya diperlukan untuk profesional-profesional dalam industri kreatif.
Dari segi rekaan, paparan skrin ini hadir dengan rekaan bingkai nipis, dan dilengkapi dengan sejumlah palam input dan output seperti HDMI 2.0b, DisplayPort 1.2 dan sejumlah palam USB 3.2 Type-A. Selain daripada itu ia juga hadir dengan pembaca kad SD terbina dan menggunakan teknologi anti-flicker yang mengurangkan masalah sakit mata apabila memandang paparan untuk jangkamasa yang lama.
Setakat ini, tanda harga untuk kedua-dua komputer MSI Creator P50 dan MSI Summit MS321 ini masih tidak diketahui lagi, dan kemasukannya ke pasaran Malaysia tidak disahkan lagi.