Cari @ Amanz

Setelah melancarkan beberapa aksesori dalam tempoh beberapa minggu, Razer sekali lagi memperlihatkan sebuah lagi aksesori gaming dalam bentuk pengawal permainan yang dinamakan Razer Wolverine V2 Chroma.

Pengawal permainan ini boleh digunakan pada konsol Xbox Series X dan Series S yang baru, bersama-sama dengan komputer anda, jadi sokongan pelbagai platform sudah hadir terbina. Wolverine V2 Chroma ini juga hadir dengan rekaan berbentuk L yang mana walaupun pengawal ini bersaiz besar, ia selesa dipegang dan digunakan oleh tangan-tangan pelbagai saiz tanpa masalah.

Dari segi fungsi dan ciri-ciri, Razer Wolverine V2 Chroma ini dilengkapi dengan butang-butang sama yang lazimnya dapat diperlihatkan pada pengawal permainan Xbox Controller, tetapi hadir dengan enam butang tambahan, yang mana kesemuanya boleh diubahsuai melalui perisian Razer Synapse.

Bahagian picu pengawal permainan ini juga hadir dengan mod Hair Trigger yang mana input akan diambil kira walaupun butang picu tersebut ditekan dengan sedikit. Ini sangat berguna untuk mereka yang bermain permainan FPS dengan aksi pantas seperti Call of Duty ataupun Apex Legends yang mana ketangkasan menewaskan musuh adalah sangat dititikberatkan.

Bahagian pengawal analog Razer Wolverine V2 Chroma ini juga boleh ditukar penutupnya dan batang pengawalnya, dan ini boleh dikatakan salah satu cara untuk Razer membolehkan pengguna pengawal ini untuk mengubahsuai aksesori tersebut kepada pilihan mereka.

Bukan itu sahaja, pengawal permainan Wolverine V2 Chroma juga hadir dengan sistem pencahayaan Razer Chroma terbaru, dan sama seperti fungsi pengawal ini, ia boleh diubahsuai melalui perisian Razer Synapse.

Razer mengatakan bahawa aksesori pengawal permainan Razer Wolverine V2 Chroma ini akan tiba di pasaran pada harga RM749.90 dalam masa terdekat ini di semua pengedar aksesori Razer yang sah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd