Carian
Siri Xiaomi 11T Kini Rasmi – Snapdragon 888, Skrin 120Hz, Pengecasan Pantas 120W
September 15, 2021 Amy Maizuraa

Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro telah diumumkan secara rasmi, sebentar tadi. Ia merupakan rangkaian peranti terbaharu daripada Xiaomi dan kedua-duanya berkongsi sejumlah aspek yang sama – baik dari segi penawaran dalaman mahupun luaran. Beza utama hanya terletak pada cip pemprosesan dan sokongan untuk pengecasan pantas.

Untuk spesifikasi khusus, Xiaomi 11T Pro menggunakan skrin rata sejenis AMOLED berukuran 6.67-inci beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Paparannya juga turut menyokong ciri-ciri tambahan seperti piawaian HDR10+, Sunlight Mode 3.0 dan Reading Mode 3.0.

Di samping itu, ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 888 (5nm), memori sehingga 12GB RAM (LPDDR5) dan storan dalaman sehingga 256GB (UFS 3.1). Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai sokongan sistem penyejukan cecair dan motor linear paksi-X dengan sistem haptik.

Melengkapinya juga adalah sistem tri-kamera di belakang dengan tetapan 108-Megapixel (f/1.75) (ultra-lebar) + 8-Megapixel (f/2.2) (sudut ultra-lebar) + 5-Megapixel (f/2.4) (telemakro), manakala kamera hadapan adalah sebesar 16-Megapixel (f/2.45). Kamera turut menyokong beberapa fungsi menarik seperti mod AI Cinema, kebolehan Audio Zoom, kemampuan rakaman video beresolusi 8K, telemakro dan HDR10+.

Seterusnya, bateri yang dibekalkan adalah sebesar 5,000mAh yang turut sama menyokong pengecasan pantas 120W Xiaomi HyperCharge. Melaluinya, ia menjanjikan pengecasan penuh dalam hanya 17 minit. Ciri lain yang disertakan ialah pengimbas cap jari sisi, port USB-C, bluetooth 5.2, pembesar suara stereo, NFC, Wi-Fi 6 dan sebagainya.

Bercakap mengenai Xiaomi 11T pula, ia turut dilengkapi skrin rata 6.67-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Namun begitu, ia menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200-Ultra, memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Melaluinya, Xiaomi memaklumkan bahawa ia adalah cip berteknologi 6nm yang membolehkan sokongan dual 5G bersama penawaran kombinasi CPU yang lebih cekap.

Melengkapinya juga adalah bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W yang menjanjikan proses pengecasan penuh dalam masa 36 minit. Tidak ketinggalan, tri-kamera turut digunakan dengan sensor ultra-lebar 108-Megapixel (f/1.75) + 8-Megapixel (sudut ultra-lebar) + 5-Megapixel (telemakro) dan kamera hadapan pula adalah 16-Megapixel. Lain-lain spesifikasi termasuklah pengimbas cap jari sisi, port USB-C, bluetooth 5.2, pembesar suara stereo, NFC, Wi-Fi 6 dan sebagainya.

Untuk harga, Xiaomi 11T dijual pada harga bermula EUR 499 (~RM2,452) Sementara itu, Xiaomi 11T Pro berharga bermula EUR 649 (~RM3,190). Kedua-dua model akan tersedia dalam tiga pilihan warna seperti Meteorite Gray, Moonlight White dan Celestial Blue. Buat masa ini, belum ada butiran lanjut mengenai harga jualan untuk pasaran Malaysia. Sama-sama kita nantikan.

Komen