Carian
Xiaomi Pad 5 Dengan Snapdragon 860 Turut Diumumkan Untuk Pasaran Global
September 15, 2021 Amy Maizuraa

Pada acara hari ini, Xiaomi turut sama mengumumkan ketersediaan tablet terkini mereka untuk pasaran Global – menerusi pengenalan Xiaomi Pad 5. Tablet bersaiz 11-inci ini dilengkapi paparan skrin beresolusi WQHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Pada masa sama, paparannya turut menyokong ciri tambahan seperti kemampuan memaparkan gamut warna DCI-P3 dan Dolby Vision.

Seterusnya, ia juga dijana oleh cip Snapdragon 860, GPU Adreno 640, memori 6GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri berkapasiti 8,720mAh yang disertakan turut sama menyokong pengecasan berwayar 33W. Kamera utama pula adalah 13-Megapixel, manakala kamera hadapannya sebesar 8-Megapixel. Tidak ketinggalan, ia membawakan empat pembesar suara dengan sistem audio Dolby Atmos untuk pengalaman audio lebih baik.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, ia juga menyokong aksesori tambahan seperti sebuah stylus bermagnet dan tersedia dalam dua pilihan warna seperti Cosmic Grey dan Pearl White. Untuk harga, Xiaomi Pad 5 dijual bermula EUR349 (~RM1,714) untuk model 6GB/128GB, sementara itu model 6GB/256G pula berharga EUR399 (~RM1,960).

Komen