Selamat Hari Malaysia kepada semua pembaca Amanz. In ialah hari yang amat penting kerana memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia di antara Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Gabungan ini menghasilkan satu negara yang mantap. Jadi ini memberikan kami idea apakah akan berlaku jika syarikat teknologi utama dunia juga bergabung untuk membentuk persekutuan baharu? Jawapannya ialah di bawah.
SamPle – Samsung + Apple
Samsung dan Apple perlu bergabung bagi menentang kebangkitan Xiaomi yang kini sudah memintas Apple dan memburu Samsung di belakang seperti Jason Vorhees di dalam filem Friday The 13. Penggabungan Samsung dan Apple adalah paling mudah dilakukan kerana Apple sudahpun menggunakan skrin peranti, bateri, sensor kamera, memori dan storan dari Samsung.
Telefon pintar pertama mereka SamPle iFold menggunakan teknologi skrin boleh-lipat Z Flip3 120Hz, dengan cip siri Apple A yang dikilangkan oleh Samsung, sistem operasi One iOS dan sistem kamera periskop dari siri Galaxy. Apabila bergabung isu komponen mahal, pertuduhan Samsung mencuri idea dan komponen paten kamera Apple dipegang oleh Samsung akan diselesaikan sekelip mata.
Kekurangan ialah SamPle akan menjadi syarikat teknologi yang terlalu dominan sehingga peminat tegar menjadi semakin menjengkelkan di media sosial dan ruangan komen laman web. Tradisi Samsung menjadikan Apple bahan jenaka dalam iklan terkini juga akan berakhir.
SonSoft- Sony + Microsoft
Satu lagi persekutuan Timur dan Barat berlaku apabila Sony bergabung dengan Microsoft. Dua syarikat yang tidak bernasib baik dalam dunia telefon pintar sejak lima tahun kebelakangan ini bergabung bagi menentang SamPle.
Kepakaran rekaan industri, hiburan dan fotografi Sony dipadankan dengan kekuatan perisian, teknologi awanan dan kewangan Microsoft pastinya mampu memberikan persaingan yang hebat kepada SamPle kelak. Telefon pintar pertama merkea SonSoft xSurface akan menjadi peranti untuk permua terhebat di pasaran. Kesemua katalog PlayStation dan Xbox boleh dimainkan pada xSurface menggunakan xCloud bagi menawarkan pengalaman permainan mudah alih paling hebat pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia.
xSuface ialah peranti untuk permua tetapi hadir dengan kemampuan fotografi yang terbaik tidak seperti peranti untuk permua lain di pasaran. Tiada lagi kompromi cuma kadang kala perlu berhadapan BSOD pada peranti kerana ia adalah tradisi turun temurun sejak zaman Microsoft lagi.
HoWei – Honor + Huawei
Apabila SamPle dan SonSoft bergabung, syarikat pengeluar dari China tidak dapat menahan diri lagi untuk mengikuti trend paling hangat dalam dunia teknologi. Honor dan Huawei kembali bergabung di bawah payung yang sama seperti suatu ketika dahulu mewujudkan HoWei. Tetapi seperti Steve Jobs kembali semula ke Apple pada tahun 1996, Honor kembali bersama Huawei menjadi syarikat yang lebih dominan.
Ini bagi membolehkan HoWei terus menggunakan GMS pada peranti Android yang dikeluarkan serta akses kepada teknologi serta cip 5G yang diperlukan pada waktu ini. Huawei dapat bernafas semula selepas menjadi mangsa sekatan ekonomi Amerika Syarikat yang kejam. Honor mendapat keuntungan kerana dapat menggunakan teknologi lensa Leica yang mempunyai persetujuan eksklusif dengan Huawei selama ini.
Telefon pintar pertama mereka HoWei Mategic 1 segera menjadi peranti pilihan untuk peminat fotografi kerana dilengkapi sensor terbesar, lensa Leica terbaik, dan mod malam yang masih tidak boleh ditandingi. Perkara negatif yang berlaku pasca peggabungan ialah tiada lagi Richard Yu di acara pelancaran supaya Amerika tidak boleh menuduh HoWei sekadar lubang gelung untuk mengelakkan halangan perdagangan yang dikenakan.
GooMi – Google + Xiaomi
Dengan SamPle menjadi syarikat teknologi yang amat dominan, Google mula mencari rakan seteru yang boleh memberikan persaingan buku bertemu ruas yang sebenar. Google mempunyai wang yang banyak serta pelaburan dalam teknologi terkini yang boleh dibanggakan. Tetapi dalam penghasilan perkakasan mereka mempunyai kelemahan yang nyata. Pembelian Motorola hanya kekal seketika seperti jodoh artis Barat. Pasukan HTC yang dibeli kini agak lemau dengan penawaran peranti yang semakin sendu di peringkat global.
Gabung Gogle dan Xaomi adalah seperti pinang dibelah dua. Telefon pintar pertama mereka ialah GooMi MIXel yang bukan sahaja padat dengan teknologi Android yang paling terkini dan termaju eksklusif tetapi ditawarkan pada harga yang cukup marhaen. Isu peranti Pixel yang mahal dan peranti Xiaomi yang lambat dikemaskini selesai dengan sekelip mata.
Selain telefon pintar, GooMi menjadi kuasa besar dalam dunia peranti boleh pakai, peranti berhubung IoT dan kereta elektrik swapandu. Bagi pengguna di Malaysia, kesemua produk GooMi ditawarkan pantas untuk pasaran tempatan secara rasmi tanpa perlu membelinya dari Singapura.
BBK Electronics – Oppo + OnePlus + Realme + iQoo + Vivo
Selepas bertahun membenarkan anak-anak syarikat mereka beroperasi secara bebas antara satu sama lain, BBK Elecktronics mengumumkan Oppo, OnePlus, Ralme, iQOO dan Vivo akan disatukan menjadi BBK Electronics. Oppo dan Oneplus telahpun bergabung tahun ini maka persekutuan dengan tiga lagi anak syarikat yang dimiliki mereka bukanlah idea yang mengejutkan.
BBK Electronics hanya perlu bergabung dengan Nothing untuk melengkap koleksi seperti Thanos mengumpul Infinity Stones untuk menghasilkan Infinity Gauntlet. Selepas itu dengan satu petikan jari sahaja, BBK Electronics menjadi raja telefon pintar dunia. Dunia kemudian kembali seimbang seperti sepatutnya.
Selamat Hari Malaysia. Kesemua gabungan syarikat teknologi di atas hanya sekadar fantasi dan sebenarnya tidak mungkin berlaku. Apa pula gabungan syarikat teknologi impian anda sendiri? Kongsikan di ruangan komen di bawah.