Cari @ Amanz

Xiaomi MIX 4 adalah peranti pertama Xiaomi tanpa penggunaan nama Mi. Ia adalah peranti mercu Xiaomi dengan teknologi konsep yang sedia dicuba oleh pengguna, iaitu kamera bawah skrin dengan sensor sebesar 20MP. Skrin dengan rekaan nirbingkai ini bersaiz 6.67-inci, menyokong 120Hz, panel AMOLED dan dilindungi dengan Gorila Glass Victus.

Peranti ini turut dilengkapi dengan cip Snapdragon 888+, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 4500 mAh dengan pengecasan pantas berwayar 120W dan pengecasan nirwayar 50W. Seperti Mi MIX asal, tubuh MIX 4 diperbuat daripada seramik dan dengan generasi baharu ini ia lebih tahan lasak.

Kamera pula adalah 108MP dipadankan dengan sensor telefoto 8MP dengan zum sehingga 50X dan lensa ultra sudut lebar 13MP.  Ciri unik lain adalah, Xiaomi menyertakan sokongan Ultra Wide Band (UWB) untuk kawalan peranti berhubung yang lebih baik serta perkongsian fail yang lebih stabil.

Di China peranti ini dijual pada harga mencecah sekitar lebih RM4100. Tetapi menurut Xiaomi Malaysia, mereka tiada perancangan untuk menjual peranti ini di pasaran tempatan buat masa ini. Jadi Xiaomi MIX 4 akan terhad di pasaran China serta pasaran Eropah terpilih sahaja buat masa ini.

Apa kata anda mengenai keputusan yang Xiaomi Malaysia lakukan ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd