GoPro Hero10 Black Kini Rasmi – Sensor 23MP dan Rakaman 5.3K 60FPS

Diterbitkan pada Sep 16, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

GoPro Hero10 Black telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi selepas spesifikasinya tertiris sejak beberapa minggu yang lalu. Kamera aksi tahan lasak ini dilengkapi sensor sebesar 23MP yang mampu merakam video sehingga resolusi 5.3K 60FPS atau 4K 120FPS yang lebih praktikal bagi kebanyakan pengguna.

Penambahbaikan turut diberikan kepada cip pemprosesan imej  GP2 yang mampu menawarkan mod rakaman video lebih tinggi tetapi juga memastikan operasi kamera terasa lebih lancar. Bagi memastikan video aksi yang dirakam adalah stabil, sistem penstabilan HyperSmooth 4.0 digunakan. Menurut GoPro sistem ini mampu menstabilkan imej walaupun tubuh kamera disendengkan sehingga 45 darjah yang merupakan peningkatan dari sehingga 27 darjah pada sistem HyperSmooth sebelum ini.

Bagi mereka yang ingin melakukan penstriman langsung. Hero10 Black boleh menyokong sehingga resolusi 1080P. Ciri lain menarik yang boleh diakses ialah kawalan menggunakan arahan suara, skrin sesentuh, dan kemampuan kalis air sehingga kedalaman 10 meter.

Bagi mereka yang memiliki Hero9 sebelum ini, kesemua aksesori dari model terdahulu boleh digunakan semula pada Hero10 Black. Ini menjimatkan wang kerana tidak perlu membeli aksesori baharu. GoPro turut menawarkan ciri menyimpan video ke awanan ketika kamera sedang dicaj dengan yuran bulanan $5 atau $50 setahun. Pemindahan data dari kamera ke telefon pintar juga lebih pantas sehingga 30%. GoPro Hero10 Black dijual pada harga $499 (~RM2075) sebuah.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami