Semua Platform Pertukaran Kriptowang Di Korea Ditutup Sementara – Wajib Mendaftar Dengan Badan Kewangan Secara Rasmi

Diterbitkan pada Sep 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kerajaan-kerajaan dunia nampaknya semakin serius dalam menangani isu platform pertukaran kriptowang yang semakin bertumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Korea Selatan merupakan negara seterusnya yang akan mengetatkan undang-undang disebalik perdagangan kriptowang ini.

Pada 24 September minggu hadapan, kerajaan Korea Selatan akan memperkenalkan satu rang undang-undang baru berkenaan operasi platform pertukaran kriptowang yang mana perniagaan-perniagaan ini akan perlu mendaftar dengan Financial Intelligence Unit menjelang minggu hadapan.

Sehubungan dengan itu, untuk seminggu, platform-platform pertukaran kriptowang ini tidak dibenarkan beroperasi sehingga mereka menerima lesen selepas undang-undang tersebut diperkenalkan secara rasmi pada tarikh tersebut. Platform-platform pertukaran kriptowang ini juga diwajibkan untuk memberitahu pelanggan-pelanggan mereka akan perkara ini sebelum pukul 12 tengah malam hari ini.

Satu kriteria kelayakan untuk mendapatkan lesen operasi di Korea Selatan ialah platform-platform ini perlu bekerjasama dengan bank-bank tempatan untuk memastikan kesahihan operasi mereka, dan juga untuk memastikan bahawa para pengguna platform-platform tersebut semuanya menggunakan nama sebenar mereka.

Platform yang tidak mahu mendaftar dengan pihak Financial Intelligence Unit akan diarahkan untuk menutup operasi mereka di negara tersebut, manakala mereka yang mendaftar, tetapi tidak dapat untuk bekerjasama dengan bank-bank tempatan akan dibenarkan beroperasi, tetapi tidak dalam matawang Won.

Menurut laporan Reuters, undang-undang ini akan menyebabkan sekitar 40 platform pertukaran kriptowang untuk ditututp sepenuhnya. Bagi syarikat-syarikat ini, mereka diarahkan untuk mengumumkan tarikh penutupan dan cara untuk menukar kriptowang mereka kepada wang fiat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penutupan penuh.

Setakat ini, hanya empat syarikat kriptowang, iaitu Upbit, Bithumb, Coinone dan Korbit yang mengesahkan bahawa mereka telah mendaftar dengan Financial Intelligence Unit dan mempunyai kerjasama dengan bank-bank tempatan.

Sumber; Reuters

komen


© Amanz / 2022 Kami