Google Didapati Menyalahgunakan Kedudukan Dominan Android Oleh Suruhanjaya Persaingan India

Diterbitkan pada Sep 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google berhadapan satu lagi masalah dan kali ini mereka didapati menyalahgunakan kedudukan dominan sistem operasi Android setelah disiasat oleh Suruhanjaya Persaingan India (CCI). Android ialah sistem operasi dominan di India dengan pegangan mencecah 98% dari hampir 600 juta telefon pintar di negara ini.

Menurut CCI tindakan Google memaksa pengeluar peranti menyertakan aplikasi mereka secara terpasang pada peranti Android adalah tindakan tidak adil kepada pesaing. Kontrak yang perlu dipersetujui oleh pengeluar untuk menggunakan Android juga dikatakan berat sebelah kepada Google. Sebagai contoh aplikasi Google yang terpasang memberikan kelebihan kepada mereka dan menyukarkan pengeluar peranti untuk menawarkan perkhidmatan menerusi aplikasi mereka sendiri. Siasatan telah dilakukan oleh CCI sejak 2019 lagi dan laporan akhir setebal 750 muka surat telah diterbitkan.

Tindakan Google ini dilihat sebagai menghalang persaingan dan sekaligus menyekat inovasi yang boleh ditawarkan aplikasi lain. Selain itu ia juga merugikan pengguna yang hanya ditawarkan ekosistem Google sahaja. Sepanjang siasatan CCI mengambil maklum balas dari Apple, Microsoft, Amazon, Paytm, PhonePe, Mozilla, Samsung,  Xiaomi, Oppo, Vivo dan Karbonn mengenai amalan perniagaan Google di India.

Jika didapati bersalah, Google mungkin akan berhadapan denda seperti yang berlaku kepada mereka di Korea Selatan dan perlu melakukan perubahan kepada terma dan syarat penggunaan Android di India.

Sumber Times of India

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami