Cari @ Amanz

Minggu lalu misi Inspiration4 oleh SpaceX melakar sejarah sebagai misi ke angkasa lepas pertama dengan krew merupakan orang awam sepenuhnya dan dilancarkan oleh syarikat swasta. Misi ingin membuktikan misi ke angkasa lepas tidak lagi memerlukan bantuan tentera atau badan kerajaan untuk berjaya disamping ingin mengumpul dana kepada hospital kanser kanak-kanak.

Selepas tiga hari mengorbit pada ketinggian 575 km dari permukaan bumi, kapsul Dragon yang diberi nama Resilience dengan empat krew berjaya kembali ke bumi semalam. Dragon mendarat di permukaan laut berhampiran Florida menggunakan sistem payung terjun.

Rekod lain yang berjaya dipegang oleh misi Inspiration4 ialah misi ke orbit paling jauh sejak 1993, angkasawan paling muda mengorbit bumi dan kali pertama dalam sejarah dunia 14 orang manusia berada di orbit bumi serentak (mengambil kiri krew Stesen Angkasa Antarabangsa dan Stesen Angkasa Tiangong).

Misi SpaceX akan diiktiraf sebagai misi ke angkasa lepas sebenar kerana krew mengelilingi bumi selama beberapa hari, mencapai ketinggian angkasa lepas sebenar dan krew mengawal kapsul sendiri. Ini berbeza dengan misi Jeff Bezos dan Sir Richard Branson tempo hari yang tidak melayakkan krew menerima sayap angkasawan dari NASA.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd