Cari @ Amanz

Televisyen yang menggunakan panel beresolusi 4K bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dua ke tiga tahun lepas, kandungan dalam resolusi tersebut dibangunkan dengan cukup banyak sekali, tidak kiralah untuk filem siri televisyen ataupun permainan video.

AU Optronics, salah satu syarikat yang dikenali untuk membangunkan teknologi paparan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah membangunkan panel paparan bersaiz 85 inci pada resolusi 4K dan juga 240Hz. Pada tahun lepas, kita telah melihat paparan dengan resolusi yang sama, tetapi pada kadar segar semula 120Hz yang dimanfaatkan oleh konsol-konsol permainan terbaru seperti Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai paparan ini buat masa ini, tetapi AU Optronics mengatakan bahawa selain daripada resolusi dan kadar segar semula tersebut, ia juga hadir dengan kemampuan untuk memaparkan 96 peratus daripada gamut warna DCI-P3.

Selain daripada itu, ia juga akan hadir dengan sejumlah ciri-ciri tambahan seperti Variable Refresh Rate, yang akan menukar kadar segar semula paparan secara automatik bergantung kepada kandungan yang diperlihatkan dan lapisan anti-reflektif yang akan mengurangkan pantulan cahaya daripada permukaan paparan apabila berdekatan dengan sumber cahaya,

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah paparan ini akan dipasarkan, tetapi kami menjangkakan bahawa paparan dengan resolusi dan kadar segar semula tinggi ini akan dipopularkan oleh jenama-jenama televisyen terkemuka tidak lama lagi.

Sumber: DigiTimes

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd