Ciri YouTube Super Chat dan Super Sticker kini secara rasmi dilancarkan di Malaysia selepas ia secara tiba-tiba diaktifkan tanpa pengesahan rasmi Google pada 8 September yang lalu. Menerusi ciri ini penonton sesebuah siaran langsung boleh menyokong saluran kegemaran mereka dengan melakukan sumbangan wang. Komen yang ditinggalkan menggunakan Super Chat kemudiannya boleh disematkan sehingga lima jam pada susur masa chat. Ini sekaligus memastikan chat tersebut dilihat oleh penstrim dan meningkatkan interaksi.

Sokongan Super Stickers juga diaktifkan kepada pengguna di Malaysia. Pelekat khas beranimasi ini boleh dibeli sebelum digunakan semalam penstriman langsung ataupun siaran perdana sesebuah kandung baharu. Seperti Super Chat, pelekat ini akan disematkan pada susur masa chat untuk tempoh masa tertentu membolehkan pemilik saluran melihatnya dengan lebih jelas. Pelekat boleh digunakan untuk menunjukkan sokongan atau tanda berterima kasih kepada pencipta kandungan yang diminati.