GIGABYTE ialah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk komponen komputer dan siri komputer riba mereka. Secara lazimnya mereka memfokuskan kepada arena gaming, tetapi kini mereka telah mula memfokuskan kepada pasaran produktiviti dengan penawaran terbaru mereka.

Dinamakan GIGABYTE U4, komputer riba ini hadir dengan rekaan nipis dan ringan dan dikuasakan siri CPU Intel generasi terbaru yang hadir dengan sejumlah fungsi-fungsi baru, disamping prestasi yang cukup berkuasa.

Sama seperti komputer riba GIGABYTE Aero 14, komputer riba GIGABYTE U4 ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD. Ia mampu memperlihatkan gamut warna sRGB 100 peratus, dan ini adalah suatu fungsi yang boleh dikatakan cukup berguna khususnya untuk mereka yang mementingkan kejituan warna pada paparan skrin mereka.

Dari segi spesifikasi dalaman, komputer riba GIGABYTE U4 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-1195G7 dengan memori DDR4 8GB terbina yang boleh dinaiktarafkan sehingga 64GB. Dari segi storan pula, GIGABYTE U4 ini hadir dengan dua slot SSD NVMe yang mana salah satu daripada slot tersebut menyokong storan PCIe 4.0 yang lebih pantas.

Dari segi bateri pula, GIGABYTE mengatakan bahawa model komputer riba ini dimuatkan dengan bateri 36Wh yang menjanjikan jangkahayat selama lapan jam dengan satu pengecasan penuh.
Selain daripada fungsi-fungsi seperti palam Thunderbolt 4, USB 3.2 dan sokongan untuk WiFi6, komputer riba ini hadir dengan rekaan senipis 16.5mm sahaja dan mempunyai berat 990g. Gabungan ini membuatkan komputer riba GIGABYTE U4 ini sebuah mesin produktiviti yang nipis, ringan dan berkuasa yang boleh dibawa kemana-mana dengan mudah.
Buat masa ini tanda harga komputer riba ini, dan penawarannya untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui lagi.