Cari @ Amanz

Kopi Buatan Makmal Berjaya Dihasilkan Di Finland

Link Copied!

Untuk menanam kopi, cuaca panas tropika dengan kelembapan yang tinggi adalah perlu. Oleh sebab itu penanaman kopi dilakukan di negara-negara berhampiran garisan Khatulistiwa. Penanamannya secara konvensional di negara iklim sejuk seperti Finland adalah mustahil sehinggalah sekarang.

Penyelidik dari VTT Technical Research Centre di Finland mengumumkan kejayaan mereka menghasilkan kopi buatan makmal. Teknologi pertanian selular digunakan bagi “menanam” kopi. Sel tumbuhan kopi diletakkan di dalam bioreaktor untuk membekalkan nutrien yang diperlukan. Hasilnya ialah kopi yang tidak dihasilkan dari pokok. Dalam ujian rasa dan bau, kopi buatan makmal yang dihasilkan oleh VTT adalah konsisten dengan kopi sebenar.

Pada waktu ini kopi buatan makmal masih lagi di peringkat kajian dan tidak boleh diberikan kepada orang awam. Namun begitu ketua pasukan kajian VTT Dr. Heiko Rischer berkata beliau percaya kopi buatan makmal mungkin sedia untuk dipasarkan dalam masa empat tahun lagi.

Jadi mengapai kopi buatan makmal dihasilkan? Sama seperti daging buatan makmal ia adalah untuk menghasilkan teknik menghasilkan makanan yang lebih mesra alam dan efisien. Kebun tanaman kopi memerlukan kawasan hutan ditebang dan ini menghapuskan habitat semula jadi. Ia juga membolehkan kopi ditanam di seluruh dunia tanpa mengira cuaca. Ini pula mengurangkan pencemaran yang dihasilkan dalam proses pengangkutan kopi ke destinasi ia diperlukan.

Sumber New Atlas


Komen ()