Redmi mengemaskini rangkaian komputer riba permainan mereka dengan memperkenalkan Redmi G 2021 Gaming Notebook. Komputer riba ini terdiri dengan pilihan pemproses keluaran Intel dan AMD. Satu variasi dikuasakan oleh Intel Core i5-11260H yang dipadankan dengan grafik RTX 3050. Sementara itu, satu lagi variasi menggunakan AMD Ryzen 7 5800H bersama GPU RTX 3060.

Bagaimanapun, sebahagian besar spesifikasi pada kedua-duanya adalah sama sahaja. Di mana, Redmi G 2021 hadir dengan skrin sebesar 16.1-inci dengan kadar segar semula 144Hz. Ia juga dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan 512GB. Di samping itu, ia turut dilengkapi teknologi Hurricane Cooling 3.0 yang mempunyai kipas 12V bersama lima paip haba dan empat lubang udara untuk aliran haba lebih baik.


Selain itu, Redmi G 2021turut menjalankan perisian Windows 10 dan dijangka menerima kemaskini untuk Windows 11 tidak lama lagi. Spesifikasi lain termasuklah Wi-Fi 6, DTX: X Ultra Sound, papan kekunci bersaiz penuh, pembantu pintar Xiao AI, Thunderbolt 4, port sambungan USB-C dan lain-lain. Di China, Redmi G 2021 (Intel Core i5-11260H) dijual pada harga RMB5,699 (~RM3,690). Sementara itu, Redmi G 2021 ( AMD Ryzen 7 5800H) pula berharga RMB6,999 (~RM4531).