Cari @ Amanz

Rivil Ialah Syarikat Malaysia Yang Menghasilkan Air Minuman Daripada Udara

Link Copied!

Kita hidup di dunia moden di mana bekalan air dan bekalan elektrik adalah dua cabang utiliti utama dengan kerajaan ingin menjadikan perkhidmatan telekomunikasi sebagai cabang ketiga. Dalam kita cuba merealisasikan cabang ketiga ini bagi mengecilkan jurang digital, masih wujud juga penduduk Malaysia yang masih belum mempunyai bekalan air bersih yang konsisten.

Di pedalaman Sabah misalnya tular apabila komuniti membina sistem bekalan air sendiri menggunakan sumber air sungai dan juga takungan air hujan. Sementara di Kelantan pula isu bekalan air teh tarik yang sudah berlarutan berdekad lamanya hanya dijangka selesai menjelang 2040.

Tetapi duduk di kota metropolitan sekalipun tidak menjamin bekalan air bersih tidak akan putus. Penduduk Lembah Klang boleh menghasilkan podsiar dengan 100 episod bercakap mengenai bekalan air yang dihentikan setiap kali sumber air didapati tercemar dengan sisi buangan perkilangan dan minyak dari kegiatan mencuri pasir.

Dalam kesemua situasi di atas, kita sebagai pengguna tidak mempunyai pilihan selain bersabar dan husnuzon isu akan diselesaikan oleh pihak berwajib. Tetapi mungkin tiba masanya pilihan kedua diberikan kepada pengguna bagi mengelakkan kesemua situasi di atas berlarutan.

Rivil, sebuah syarikat tempatan mula menawarkan sistem bekalan air minuman dari udara. Ini bukan fiksyen kerana teknologi Atmospheric Water Generator (AWG) sudah lama wujud cuma selama ini hanya digunakan oleh pihak tentera dan kegunaan industri. Malahan Rivil telah menawarkan mesin AWG kepada keperluan industri seperti di pelantar minyak sejak 2018. Kos mesin yang tinggi (bermula dari RM25,000 sebuah) serta kurangnya kesedaran mengenai teknologi AWG adalah dua batu penghalang kepada penggunaan sistem ini di peringkat pengguna.

Tiang seri kepada sistem AWG Rivil ialah teknologi penghasilan air dari udara yang dibangunkan oleh Genaq, sebuah firma dari Sepanyol. Lembapan dari udara diubah menjadi titisan air menerusi proses kondensasi. Air yang dikumpul kemudiannya menjalani proses penurasan sebanyak empat kali dan sinaran lembayung bagi memastikan ia selamat untuk diminum serta memasukkan bahan mineral yang diperlukan oleh tubuh.

Menurut ketua pegawai eksekutif Rivil Faizal Akmal dalam temubual bersama Amanz, air minuman yang dihasilkan mesin AWG mereka mempunyai rasa yang sama seperti air minuman biasa sehingga sukar untuk dibezakan dari air yang diambil dari sumber paip. Ini berbeza dengan beberapa sistem air dari udara yang ditawarkan sebelum ini yang mempunyai rasa sedikit kelat kerana menjalani proses kondensasi sahaja.

Tahun ini Rivil akan mengembangkan sayap dengan menawarkan mesin AWG kepada pengguna biasa. Mereka percaya dengan teknologi yang semakin matang, kos untuk menghasilkan bekalan air menerusi mesin mereka adalah sehingga 79% lebih murah jika dibandingkan membeli air botol. Pihak Rivil berkata harga jualan mesin mereka adalah sekitar RM7000 apabila dilancarkan kelak dengan kapasiti membekalkan bekalan air minum sehingga 4 orang di dalam isi rumah.

Walaupun harga jualannya masih dilihat sedikit premium, Rivil percaya wujud pasaran untuk mesin AWG di kalangan Malaysia. Mereka tidak melihat mesin mereka akan menggantikan bekalan air paip di rumah, sebaliknya ia adalah teknologi komplementari dalam situasi kecemasan. Sebagai penduduk Lembah Klang yang terseksa dengan tiadanya bekalan air selama seminggu tahun lalu, teknologi AWG Rivil hadir tepat pada waktunya.

Tepat kerana gangguan bekalan air bersih nampaknya berlaku semakin kerap kerana kombinasi pencemaran sumber air yang semakin menjadi-jadi serta perubahan iklim dunia yang akan memanjangkan lagi musim kemarau. Situasi kekurangan sumber air bersih sudahpun dapat dilihat di negara sub-Sahara, California dan India. Terdapat teori bahawa perang dunia seterusnya akan tercetus bukan kerana ideologi atau bekalan minyak tetapi adalah kerana perebutan sumber air.

Situasi tegang antara China dan India di Himalaya dan China dengan negara-negara Indo-China sejak beberapa tahun kebelakangan ini boleh dilihat sebagai burung kenari di dalam lombong arang baru. Sekiranya senario paling buruk berlaku, sekurang-kurang di Malaysia sistem menghasilkan air dari udara buatan tempatan wujud dan anda tidak perlu berharap kepada Immortan Joe untuk membekalkan air.


Komen ()