Lithuania Menggesa Peranti Pengeluar China Dibuang Kerana Didakwa Menapis Kandungan

Diterbitkan pada Sep 22, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Peranti keluaran China adalah amat popular di pasaran global kerana menawarkan prestasi yang sama tetapi dijual pada harga yang jauh lebih mampu milik. Tetapi Pusat Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan Lithuania mengeluarkan laporan peranti pengeluar China perlu dibuang kerana boleh menapis kandungan pengguna menurut laporan Reuters.

Antara dakwaan yang dilontarkan kementerian ialah perisian yang digunakan peranti keluaran Xiaomi mempunyai kemampuan menapis perkataan seperti gerakan demokrasi, bebaskan Tibet dan hidup kemerdekaan Taiwan. Senarai frasa yang diharamkan mencecah 449 kesemuanya pada waktu ini dan sering dikemaskini. Kesemua ciri ini tidak diaktifkan pada perisian peranti global tetapi didakwa boleh diaktifkan oleh pengeluar. Xiaomi juga didakwa menghantar data pengguna kepada pelayar di Singapura.

Selain peranti Xiaomi, peranti Huawei P40 5G juga didakwa mempunyai kerentanan sekuriti oleh Pusat Keselamatan Siber. Huawei telahpun mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan maklumat peribadi pengguna dihantar keluar manakala Xiaomi belum lagi memberikan sebarang jawapan.

Laporan ini diterbitkan ketika hubungan antara China dan Lithuania tegang berikutan Taiwan membuka kedutaan mereka di Lithuania. Beijing meminta Lithuania memanggil pulang duta mereka sebagai tanda protes.

China menapis frasa dan perkataan tertentu dari media sosial bukanlah perkara baharu. Carian Bing mengenai Tragedi Medan Tiananmen misalnya ditapis seolah-oleh tidak pernah berlaku. Apple pula memadam bendera Taiwan dari sistem operasi mereka kerana bagi China negara tersebut tidak wujud dan merupakan sebahagian wilayah mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami