Cari @ Amanz

Apabila peranti Microsoft Surface Duo pertama dilancarkan, Microsoft dilihat hadir dengan sebuah peranti yang mempunyai sebuah konsep yang sangat menarik, tetapi spesifikasi dalaman yang usang, disamping pelbagai isu sokongan yang tidak mencukupi membuatkannya sebuah peranti yang boleh dikatakan tidak cukup sifat.

Ramai orang yang tertanya jika Microsoft akan terus melancarkan peranti Surface Duo yang dikemaskini, dan di acara pelancaran Microsoft Surface hari ini, Microsoft telah memperkenalkan peranti kedua siri tersebut yang dinamakan Surface Duo 2.

Pertama ialah peranti Surface Duo 2 ini hadir dengan paparan yang lebih besar pada saiz 8.3 inci apabila kedua-dua bahagian paparan terbuka, dan menawarkan resolusi yang lebih tinggi dan kadar segar semula 90Hz. Paparan skrin ini juga hadir dengan rekaan yang diubahsuai untuk memudahkan pengguna untuk melihat notifikasi seperti mesej dan emel dengan lebih mudah.

Ia juga hadir dengan pengimbas cap jari di bahagian butang kuasa peranti ni yang membolehkan pengguna untuk menyahkunci peranti dengan cepat.

Tidak seperti model sebelum ini yang menggunakan Qualcomm Snapdragon 855, Surface Duo 2 menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 dan hadir dengan sokongan untuk rangkaian 5G yang dijangka akan menjadi satu keperluan utama tidak lama lagi.

Selain daripada rekaan yang dikemaskini, Surface Duo 2 ini juga dilengkapi dengan sistem kamera tiga lensa yang termasuklah kamera ultra-lebar 16MP f/2.2, kamera lebar 12MP f/1.7 dengan penstabilan imej optik dan kamera telefoto 12MP f/2.4. Ini adalah satu penaiktarafan yang sangat tinggi berbanding dengan kamera satu lensa pada peranti sebelum ini.

Microsoft juga dilihat mahu memaparkan peranti Surface Duo 2 mereka sebagai sebuah peranti gaming yang berkuasa. Mereka mengesahkan bahawa Surface Duo 2 akan menyokong sebanyak 150 permainan apabila ia dilancarkan, dengan permainan-permainan seperti Asphalt Legends 9Modern Combat 5, and Dungeon Hunter 5 yang mana peranti ini boleh digunakan sebagai konsol permainan mudah alih, dimana satu bahagian peranti akan menjadi skrin permainan, dan skrin kedua boleh digunakan sebagai pengawal permainan dengan sokongan sesentuh haptik.

Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan melancarkan peranti ini, dan samada ia akan tiba untuk pasaran selain daripada Amerika Syarikat dan juga UK.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd