Carian
Microsoft Surface Go 3 Dikemaskini Dengan Spesifikasi Dalaman Baru, Rekaan Lama Dikekalkan
September 23, 2021 Nazrin

Apabila Microsoft Surface Go 2 dilancarkan, ia boleh dikatakan sebagai salah satu komputer tablet mampu milik yang hadir dengan prestasi yang cukup berkuasa untuk tugasan produktiviti dan riadah harian yang sangat baik. Rekaannya yang padat juga memudahkan pengguna untuk membawanya kemana-mana tanpa perlu risau akan beg mereka menjadi terlalu berat.

Di acara pelancaran Microsoft Surface yang baru sahaja berlangsung, Microsoft turut memperkenalkan model tablet Surface Go terbaru yang dinamakan Microsoft Surface Go 3. Dari segi rekaan, ia hadir dengan saiz paparan 10.2 inci dan resolusi Full HD yang sama yang hadir pada model Surface Go 2 sebelum ini.

Perbezaan yang paling ketara dapat dilihat pada pilihan cip pemprosesan peranti ini. Untuk model Surface Go 3, ia akan ditawarkan dengan pilihan CPU Intel Pentium Gold 6500Y dan Intel Core i3-10100Y, yang dilihat mencatatkan peningkatan prestasi sehingga 60 peratus berbanding model sebelum ini.

Tablet Surface Go ini juga akan hadir dengan sokongan untuk stylus Microsoft Surface, dan bergantung kepada model yang anda pilih, ia akan hadir dengan sokongan untuk rangkaian 4G LTE juga. Bukan itu sahaja, ia juga kini menyokong fungsi Windows Hello yang membolehkan anda untuk melog masuk kedalam komputer anda menggunakan imbasan wajah.

Microsoft mengatakan bahawa tablet Microsoft Surface Go 3 ini sudah boleh dipra-tempah di pasaran-pasaran terpilih pada harga bermula $399. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan memasuki pasaran tempatan.

Komen