Cari @ Amanz

Selain daripada pelancaran peranti-peranti Microsoft Surface, syarikat teknologi tersebut turut memperkenalkan satu lagi aksesori yang cukup penting untuk membolehkan mereka dengan kelainan upaya untuk menggunakan peranti Surface mereka dengan lebih murah.

Ia dinamakan Microsoft Surface Adaptive Kit, dan mengandungi sejumlah pelekat dan aksesori tambahan yang memudahkan penggunaan perani Microsoft Surface bagi mereka yang memerlukannya. Aksesori ini termasuklah label pelekat yang membolehkan pengguna untuk melabelkan dan mengenalpasti kekunci, butang dan juga palam pada peranti Surface mereka dengan mudah.

Aksesori ini juga hadir dengan pelekat yang memudahkan pengguna untuk membuka peranti Surface Pro ataupun Laptop mereka dengan mudah, khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit Cerebral Palsy yang menyukarkan mereka untuk menggengam objek.

Microsoft mengatakan bahawa secara rasminya, set aksesori Surface Adaptive Kit ini menyokong semua peranti Microsoft Surface terbaru, tetapi ia juga masih boleh digunakan pada peranti-peranti yang diperkenalkan sebelum ini.

Selain daripada pengumuman mengenai produk ini, Microsoft belum lagi mengumumkan butiran lanjut seperti bilakah aksesori ini akan ditawarkan di pasaran, mahupun tanda harganya.

Sumber: Microsoft

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd