Carian
Sistem Tema “Monet” Android 12 Akan Menjadi Sumber Terbuka Dalam Kemaskini Akan Datang
September 23, 2021 Fahim Zahar

Material Design digunakan sejak Android 5.0 Lollipop, dan perubahan kecil boleh dilihat sehingga Android 8 dan 9. Pada Android 10 dan 11 ia hanya menjadi lebih kemas tetapi rekaannya sudah semakin bosan dilihat. Sekurang-kurangnya pada Android asli, kerana iterasi pengeluar dengan pelancar mereka sentiasa ada perubahan menarik.

Dengan Android 12, rekaan Material You diperkenalkan. Satu perubahan mendadak kepada keseluruhan antaramuka sistem operasi Android. Ia mengambil inspirasi daripada One UI milik Samsung, dengan teks besar, ikon besar serta lebih ceria.

Ciri tema yang menarik adalah sistem monet di mana setiap latar belakang yang digunakan boleh mengubah tema warna sistem seperti yang ada pada Windows. Sayang sekali, sistem tema pintar ini dihadkan kepada Pixel sahaja dan tidak tersedia dalam AOSP untuk pengeluar peranti atau pembangun gunakan. Sehinggakan pembangun bebas hadir dengan custom ROM seperti DotOS 5.1 yang menawarkan ciri sama untuk lebih banyak peranti dan boleh digunakan pada Android 11.

Terkini menurut XDA, sistem tema ini Google akan sertakan dalam kemaskini Android 12 akan datang. Ia akan dimasukkan dalam AOSP dan menjadi sumber terbuka agar pengeluar peranti dan pembangun boleh gunakannya dan implementasikan dalam sistem operasi Android 12 masing-masing.

Walau bagaimanapun, masih tidak pasti jika pengeluar akan menggunakannya. Kerana Samsung, OnePlus, Xiaomi dan lain-lain ada enjin dan sistem tema tersendiri bersama dengan gedung aplikasi yang menjual tema. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Komen