Cari @ Amanz

Microsoft Ocean Mouse Ialah Tetikus Padat Yang Dibina Menggunakan Plastik Lautan Yang Dikitar Semula

Oleh Nazrin

Link Copied!

Plastik boleh dikatakan merupakan salah satu bahan yang paling mencemarkan lautan dunia hari ini, dan pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan pencemaran tersebut, dan terkini, Microsoft dilihat memperkenalkan sebuah aksesori baru yang menggunakan bahan tersebut yang dikitar semula.

Dinamakan Microsoft Ocean Mouse, ia adalah sebuah tetikus padat yang dibina menggunakan plastik lautan tersebut, dan ia dipadankan bersama-sama dengan tablet Microsoft Surface Pro 8 yang terbaru sewaktu acara pelancaran Microsoft Surface malam semalam.

Rangka tetikus ini diperbuat daripada bahan yang diperkatakan tersebut, malah kotak tetikus ini bebas plastik dan diperbuat daripada gabungan gentian tebu dan kayu yang dikitar semula. Dengan setiap pembelian tetikus Microsoft Ocean Mouse ini, Microsoft juga menawarkan pek tema Windows 10/11 yang bertemakan pantai dan laut yang boleh digunakan bersama-sama komputer dan peranti Surface anda.

Dari segi fungsi, tetikus ini hadir dengan sokongan untuk Bluetooth 5.0 dan ia mempunyai ketahanan selama 12 bulan dengan menggunakan satu bateri AA dengan pengecasan penuh. Pra-tempah untuk tetikus ini telah dibuka untuk pasaran terpilih pada harga $24.99. Tetikus ini akan ditawarkan di pasaran global bermula 10 Oktober 2021 ini.


Komen ()