Laporan Lenovo Dan Microsoft Memperlihatkan Asia Tenggara Di Landasan Tepat Untuk Pembelajaran Digital, Tetapi Beberapa Aspek Perlu Diperbaiki

Diterbitkan pada Sep 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak wabak COVID-19 mula merebak ke seluruh dunia pada awal tahun 2020, para guru dan murid di Malaysia telah terpaksa mengharungi hampir dua tahun proses pembelajaran secara digital dan pembelajaran dari rumah. Pada tahun pertama, guru-guru dan murid-murid dilihat terpaksa membeli kelengkapan baru dan mempelajari cara-cara menggunakannya untuk tujuan pembelajaran dari rumah.

Pada bulan Mei 2021, Lenovo dan Microsoft telah menugaskan YouGov dan Terrapin untuk menjalankan sebuah tinjauan di rantau Asia Tenggara untuk memantau persediaan negara-negara ini mengenai pertukaran drastik kepada pembelajaran secara digital sejak bulan Mei 2021. Malaysia ialah diantara negara-negara yang dipantau, dan dalam 3400 responden di rantau ini, 366 daripadanya terdiri daripada golongan guru-guru,ibu-bapa dan murid-murid di Malaysia.

Tahun 2020 dilihat sebagai tahun yang sangat mencabar untuk industri pendidikan, khususnya kerana sekolah-sekolah terpaksa ditutup dengan notis yang singkat, disamping ketidaksediaan guru-guru dan para pelajar untuk menggunakan sistem pembelajaran digital ataupun atas talian.

Sepanjang tahun tersebut juga kita dapat memperlihatkan bahawa jurang sambungan internet bagi mereka yang duduk didalam dan diluar bandar lebih tenat daripada apa yang disangkakan, walaupun ini telah mula diperbaiki oleh pihak kerajaan melalui program JENDELA yang dikelola oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Perbelanjaan untuk kelengkapan pembelajaran secara digital dan dari rumah juga seperti komputer dan peranti pintar dilihat meningkat sebanyak 99 peratus untuk para guru dan 96 peratus untuk para pelajar. Ia dijangka bahawa perbelanjaan ini akan terus meningkat, khususnya untuk mereka yang akan mahu untuk bertukar daripada penggunaan peranti pintar kepada komputer riba untuk pembelajaran atas-talian yang lebih mampan.

Dari segi keberkesanan untuk pembelajaran secara digital dan dari rumah pula, aspek ini memperlihatkan polarisasi dari kedua-dua belah pihak yang ketara. 66 peratus daripada para guru di Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan teknik pendidikan digital mereka dan ia telah meningkatkan mutu pengajaran mereka, manakala 14 peratus lagi mengatakan bahawa mutu tersebut dikekalkan.

Akan tetapi ceritanya cukup berlainan bagi para pelajar yang diajukan soalan yang sama. 42 peratus daripada para pelajar yang ditanya mengatakan bahawa pemahaman mereka lebih baik berbanding apabila belajar didalam kelas fizikal, manakala 25 peratus mengatakan bahawa ia adalah sama seperti apabila mereka berada didalam kelas tersebut. Baki 33 peratus responden pelajar pula mengatakan bahawa pemahaman mereka semakin terkesan secara negatif apabila menggunakan sistem pembelajaran maya dan jarak jauh.

Kami juga difahamkan bahawa untuk para pelajar, terdapat kebarangkalian bahawa tidak semua daripada mereka menggunakan peranti-peranti yang sama untuk pembelajaran dari rumah ini. Kita sedia maklum bahawa ada daripada mereka yang menggunakan komputer desktop ataupun komputer riba dengan internet jalur lebar yang memudahkan fasilitasi pembelajaran dari rumah, dan ada juga mereka yang hanya menggunakan peranti pintar dengan sambungan internet mudah-alih yang terhad.

Dengan peranti yang sesuai dan juga sambungan internet yang lebih stabil dan mesra pengguna, pihak Lenovo dan Microsoft turut menjangkakan bahawa julat pemahaman pembelajaran diantara murid-murid ini dapat dirapatkan dengan segera.

Dalam pada itu, laporan ini juga mengatakan bahawa satu aspek positif yang boleh diambil-kira untuk majoriti para pelajar ini ialah ketersediaan sumber pembelajaran dan juga kebolehan dan kemudahan para pelajar untuk melakukan tugas-tugas kolaborasi pada bila-bila masa sahaja. Dengan sistem pembelajaran digital, para pelajar dan guru-guru juga tidak perlu risau tentang berulang-alik ke sekolah dan rumah, dan lebih banyak masa boleh diluangkan untuk perbincangan ilmiah.

Satu kesukaran yang dikongsi oleh kedua-dua tenaga pengajar dan murid-murid ialah mengekalkan minat dalam pembelajaran secara digital. Kedua-dua pihak ini memberi alasan gangguan di rumah yang menyukarkan mereka untuk memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran. Bukan itu sahaja, para pelajar ini juga tidak boleh berinteraksi dengan rakan-rakan sekelas mereka, yang mana untuk mereka yang masih berada di sekolah rendah atau menengah, merupakan satu aspek persekolahan secara fizikal yang tidak boleh didapati melalui pembelajaran atas talian.

Lenovo Malaysia dan Microsoft mengatakan bahawa peranti dan perisian kolaborasi seperti Microsoft Teams for Education dan sebagainya untuk pembelajaran sudahpun boleh digunakan oleh orang ramai, tetapi pemahaman dan penggunaan perisian-perisian kolaborasi ini masih boleh ditingkatkan supaya tenaga pengajar dan para pelajar dapat memanfaatkannya dengan sepenuhnya.

Pembelajaran digital boleh dikatakan langkah evolusi seterusnya untuk dunia yang terpaksa dipercepatkan akibat wabak COVID-19 yang memaksa kita untuk mengelakkan interaksi fizikal diantara satu-sama lain buat masa ini. Teknologi yang tersedia sekarang dilihat cukup baik untuk digunakan untuk tujuan tersebut, dan syarikat-syarikat teknologi seperti Lenovo dan Microsoft dilihat sedang cuba untuk memudahkan peralihan kepada cara mengajar dan pembelajaran yang baru ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami