Skyworth S82 | Q72 Dilancarkan – Televisyen Pintar OLED Dan MiniLED, 4K 120Hz, Dolby Atmos Dan Kamera AI Terbina

Diterbitkan pada Sep 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Skyworth adalah jenama televisyen pintar yang sebenarnya sudah lama berada di pasaran. Di Malaysia mereka banyak memfokuskan model-model yang mampu milik, tetapi tahukah anda yang Skyworth turut mempunyai televisyen pintar premium dengan spesifikasi menakjubkan? Ia terhad di China, tetapi ada sahaja beberapa model yang ditawarkan secara global.

Terkini mereka telah melancarkan beberapa produk menarik dengan teknologi paparan yang terkini. Mereka mengasingkan televisyen-televisyen dan produk paparan lain dalam W, S, Q, G, A, yang mana W adalah yang paling mewah iaitu Wonder, S pula yang mempunyai spesifikasi tinggi Supreme, Q untuk Quality, G ialah General dan A pula untuk Ablaze.

Skyworth S82

Model ini hadir dengan panel OLED 4K yang menawarkan warna natural yang lebih dekat dengan apa yang mata pengguna lihat di masa nyata. Skyworth mendakwa mempunyai tahap kejituan warna padakadar △E0.861 serta menyokong sRGB, BT.709, BT.2020 dan gamut warna DCI-P3. Terdapat dua saiz yang diperkenalkan, iaitu 55-inci dan 65-inci.

Skyworth S82 turut menyokong paparan Dolby Vision, HDR10, 4K 120Hz serta perlindungan mata pengguna Skyworth Eye Care dengan teknologi cahaya ambien bersama-sama dengan Dolby Vision IQ. Rekaan tubuh yang nipis pada televisyen ini adalah 3.9mm sahaja untuk televisyen tampak lebih premium dan mewah. Ia turut hadir dengan port HDMI 2.1 untuk memanfaatkan penggunaan PS5 atau sokongan lain yang lebih tinggi.

Melalui rekaan nipis ini mereka boleh menyertakan Skyworth Audio Drumtm, iaitu subwoofer 20W terbina yang boleh memancar frekuensi serendah 50Hz. Dipadankan pula dengan pembesar suara Dolby Atmos jenis surround dengan bass untuk dentuman yang lebih dalam.

Cip pemprosesan adalah MediaTek 9950 dengan GPUG52-MC2, memori adalah 4/64 GB, menyokong AirPlay, Miracast dan DLNA, serta mempunyai kamera terbina dengan kecerdasan buatan untuk disesuaikan mengikut penggunaan seperti senaman, permainan video, telesidang dan lain-lain. Sistem operasi adalah Coocaa dengan fokus kepdaa iQiYi.

Harga jualan di China adalah RMB13,999 untuk 55-inci, RMB24,999 untuk 65-inci iaitu sekitar RM9071 RM16200.

Skyworth Q72

Model ini pula menggunakan teknologi yang ramai inginkan, iaitu panel MiniLED. Skyworth menggunakan teknologi tersendiri dan menggelar panel mereka sebagai panel MiniLED pintar yang dihasilkan oleh BOE. Ia menawarkan tahap kecerahan sehingga 1500 nits, menggunakan piawaian warna tersendiri Skyworth Super Original Colors untuk gamut warna DCI-P3 115%, 10bit, sokongan 3D LUT, Dolby Vision dan juga HDR10.

Untuk audio mereka menggunakan Skyworth Audio Speaker System 2.1.2 dengan dua pembesar suara menghala ke hadapan, du ke atas dan satu subwoofer di luar. Sistem audio ditala oleh Dolby Atmos dan DTS:X.

Saiz skrin adalah 75-inci atau 86-inci, turut menyokong 4K 120Hz dengan Skyworth AI Matrix Dimming, turut dijana MediaTek 9950 dengan GPU Mali-G52 2EE MC2, memori 6.5/64 GB, turut mempunyai port HDMI 2.1 dan menjalankan sistem operasi Coocaa.

Sokongan AirPlay, Miracast, DLNA, kamera kecerdasan buatan seakan S82 semuanya ditawarkan dengan satu tambahan iaitu sensor radar dan turut mempunyai fokus kepada peranti berhubung.

Di China, televisyen ini dijual pada harga RMB29,999 untuk 75-inci dan RMB49,999 untuk 86-inci iaitu sekitar RM19440 RM32400.


Skyworth turut memperkenalkan model A20 dan G90 sebagai tawaran lebih mampu milik. Skyworth A20 hadir dengan panel 4K 120Hz LCD, rekaan nisbah-ke-badan 99%, menggunakan teknologi Skyworth AI Picture Quality Engine, perlindungan mata pengguna cahaya ambien mereka tersendiri, sistema audio JBL dengan Dolby Atmos dan turut menyokong HDMI 2.1.

Harga jualan adalah RMB4399 untuk 55″, RMB5599 untuk 65″, RMB7999 untuk 75″ – iaitu sekitar RM2850 RM5183.

Skyworth G90 pula adalah “monitor” dengan saiz 48-inci 4K 120Hz OLED. Hadir dengan nisbah 16:9, warna 3D LUT, sudut pandangan 178 darjah, audio Dolby Atmos, turut mempunyai HDMI 2.1, dan skrin ada lapisan anti-silau. Harga jualan di China adalah RMB14,999 iaitu sekitar RM9720.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami