Clubhouse semakin lama menjadi semakin sepi, apabila Twitter Space mengambil perhatian orang ramai. Dengan Twitter yang mempunyai lebih ramai pengguna, fungsi bual audio yang terus terbina, banyak ciri dan fungsi tidak begitu terhad mengikut lokasi dan tiada konsep jemputan – tidak terkejut yang Twitter Spaces digemari ramai.
Tetapi ini tidak bermakna Clubhouse terus mati dan mengalah. Terkini seorang pembangun dengan nama Alessandro Paluzzi telah mendedahkan kemaskini baharu yang bakal tiba pada aplikasi Clubhouse yang digelar Clip.

Fungsi ini merakam klip audio 30 saat terakhir dalam satu sesi bual audio di Clubhouse dan sesiapa yang menyertai sesi tersebut boleh menyimpan klip audio ini untuk dikongsi. Apabila Clip diaktifkan pada sesuatu bilik bual audio, akan ada ikon “+” untuk pengguna kongsi.
Fungsi kongsi klip audio ini juga dilihat akan ditawarkan kepada pengguna iOS terlebih dahulu sebelum diedarkan kepada pengguna Android. Bila ia akan tiba masih tidak pasti. Apa-apa pun, ia adalah satu tambahan baharu yang mungkin akan menarik minat pengguna lama yang sudah lari ke Twitter Spaces.