Carian
Ulasan Xiaomi 11T Pro – Betul Ke “T” Untuk Terpaling Pro?
September 24, 2021 Fahim Zahar

Xiaomi tahun ini melakukan satu strategi yang agak gila, iaitu melancarkan sebanyak 11 peranti dalam siri Mi 11 mereka, atau 7 Mi 11 dan 3 Xiaomi 11. Peranti ini adalah Mi 11 Lite 4G, Mi 11 Lite 5G, Mi 11, Mi 11i, Mi 11, Mi 11 Pro, Mi 11 Ultra, Xiaomi 11 Lite 5G NE, Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro. Tidak pasti jika ada lagi model peranti dengan nombor 11 yang bakal Xiaomi lancarkan, kerana jujur kami katakan – kami di Amanz semakin lama semakin pening dan keliru dengan lambakan peranti Xiaomi ini.

Menjadi persoalan, di antara semua peranti ini yang mana satukah yang terbaik? Sudah tentu sukar untuk dijawab kerana ia mewakili pada pelbagai kategori peranti daripada kelas pertengahan, kelas pertengahan premium, peranti mercu mampu milik, peranti mercu biasa atau juga peranti mercu premium.

Kami sudah menguji Mi 11 Lite, Mi 11, Mi 11 Ultra, Xiaomi 11 Lite 5G NE dan kini giliran Xiaomi 11T Pro pula. Dalam artikel ini, iaitu ulasan kami – akan kami cuba jawab beberapa persoalan yang ada kami perasan anda tujukan di media sosial dan juga pendapat kami mengenai peranti ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 11T Pro
Skrin6.67″ AMOLED
FHD+, 120Hz, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Cip GrafikAdreno 660
RAM8/12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama108+8+5 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4
AI Cinema, Audio Zoom, 8K, Super Makro
Kamera Swafoto16 Megapixel
f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM2099/RM2299

Peranti ini adalah peranti mercu mampu milik. Ia bersaing dengan Mi 11 yang Peranti ini hadir dengan skrin 6.67-inci FHD+ daripada panel AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Jika anda seakan kenali saiz skrin dan rekaan skrin peranti ini, kerana ia lebih kurang sama dengan beberapa peranti mereka yang lain. Beza pada bezel dan saiz sensor kamera swafoto sahaja. Walaupun begitu, peranti ini mempunyai sokongan paparan Dolby Vision yang lebih hebat daripada HDR10.

Menguasai peranti ini adalah cip pemprosesan yang terkenal dengan masalah memanas, iaitu Snapdragon 888 dan dipadankan dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman UFS 3.1 256GB. Peranti ini turut mempunyai enjin getaran motor linear-X yang memberikan kesan haptik yang sedap apabila disentuh atau ketika menerima notifikasi.

Konfigurasi kamera pula adalah tri-kamera daripada sensor 108+8+5 Megapixel. Setiap sensori adalah sudut lebar, sudut ultra lebar dan telemakro dengan pelbagai mod rakaman video menarik. Kamera swafoto pula adalah 16 Megapixel.

Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W yang boleh mengecas peranti sekitar 17 minit daripada 0%-100%. Turut tersedia adalah sokongan NFC, 5G, sensor infra merah dan peranti ini menjalankan MIUI 12.5.4 berasaskan Android 11.

Di atas ada logo Harmon/Kardon, kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan juga sensor infra merah. Di bawah juga lebih kurang sama cuma tiada sensor dan logo, tetapi ada lubang USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data serta slot kad SIM. Di sisi kanan ada butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari dan butang aras suara. Sisi kiri tiada apa-apa, bahagian hadapan atas ada kekisi untuk earpiece dengan rekaan skrin yang bezel nipis serta kamera swafoto dalam bentuk lubang pada skrin.

Belakang peranti tadi ada modul kamera dan logo Xiaomi. Peranti ini berbentuk sedikit melengkung di belakang yang memberikan sedikit cengkaman tambahan. Ia terasa licin, tetapi kerana rekaannya ia cukup selesa untuk penggunaan pada jangka masa lama. Susunan pembesar suara stereo juga agak baik yang tidak menghalang sesi menstrim video dan bermain permua.

Penggunaan Dan Perisian

Skrin peranti ini sememangnya hebat belaka. Dolby Vision memberikan warna yang lebih cantik, butiran yang lebih dalam, ia lebih gelap dan sinematik. Tetapi haruslah mainkan kandungan seperti di Netflix atau platform yang menyokong piawaian paparan ini. Tidak lupa juga yang 120Hz pada peranti ini lebih konsisten berbanding sebelum ini. Ini mungkin kerana MIUI 12.5.4 dengan Enhanced Edition.

Pengalaman penggunaan juga terasa lebih lancar dan pantas, Snapdragon 888 kali ini walaupun dengan 8GB RAM sahaja pada unit ulasan kami ini – apabila diseksa dengan ujian kamera dan permua berat hanya suam sahaja dan tiada isu memanasa yang serius. Sistem penyejukan serba baharu pada peranti nampaknya memainkan peranan yang baik.

Menggunakan peranti untuk menaip juga amat baik dengan sistem getaran haptik bertaraf premium. Ia cuba mimik iPhone, tidak sampai lagi tetapi untuk peranti Android ia mempunyai pengalaman yang memuaskan.

MIUI 12.5.4 pada peranti ini masih mempunyai rekaan antaramuka yang sama dan tiada beza dengan pengalaman penggunaan sejak MIUI 11 lagi. Beza hanya dilatar seperti pengurusan memori, prestasi serta sekuriti. Cukup menarik untuk melihat Xiaomi banyak bergantung kepada aplikasi Google seperti pada aplikasi telefon dan SMS.

Jujur kami katakan, MIUI pada peranti ini tidak banyak beza dengan peranti Xiaomi, Redmi atau Poco yang menggunakan asas MIUI 12.5 serta Android 11. Cuma sayang sekali sokongan tambahan memori Memory Extension tidak ditawarkan untuk peranti ini. Walaupun 8GB RAM terasa seperti mencukupi, tetapi jika boleh tambah sekitar 4GB lagi atau 2GB pengurusan memori akan lebih lancar. Saya katakan begini kerana apabila banyak aplikasi di latar, sistem akan tergendala seketika dan menjadikan peranti but semula secara tiba-tiba. Mungkin variasi 12GB RAM tidak akan ada isu ini?

Isu iklan yang menjengkelkan boleh dikatakan sudah tiada lagi, tetapi Xiaomi gantikannya dengan mempromosikan penggunaan perkhidmatan digital mereka. Contoh yang saya terima adalah ia kerap mengeluarkan peringatan untuk gunakan Wallpaper Carousel. Iklan walaupun tiada, pengguna perlu menyahaktifkannya sendiri cuma sedikit leceh.

Permua Dan Penanda Aras

Bermain permua pada peranti memang tiada masalah. Tidak kiralah Asphalt 9 dengan tetapan paling tinggi, ataupun bermain permua ringan pada jangka masa panjang – peranti tidak ada masalah memanas seperti kebanyakan peranti lain dalam kelas sama.

Walaupun skor penanda aras yang didapati sedikit lebih rendah daripada apa yang kami sangkakan. Tetapi ini adalah skor yang masuk akal untuk peranti Snapdragon 888 dengan 8GB RAM. AnTuTu mencatatkan skor 652,680 dan Geekbench 5 pula mencatatkan skor 1069/3037. Ini adalah jumlah yang memuaskan, tetapi jika 12GB RAM pasti akan lebih tinggi atau jika ada Memory Extension. Cuma perlu diingatkan seperti biasa, skor ini adalah nombor semata-mata dan pengalaman penggunaan sebenar adalah lebih penting.

Telefoni Dan GPS

Menggunakan peranti ini untuk sesi panggilan telefon pada jangka masa panjang sedikit kurang selesa, kerana peranti ini sedikit berat. Tetapi kualiti panggilan adalah cukup jelas, lantang dan tiada kesan hingar. Tidak lupa juga peranti ini menyokong VoLTE pada rangkaian Maxis yang saya gunakan. Penggunaan data mudah alih juga tidak menjadi masalah dan cukup stabil. Biasanya peranti mercu mampu milik daripada Xiaomi ada masalah rangkaian – tetapi isu itu tidak hadir pada peranti ini.

Walaupun peranti menyokong 5G, amat digalakkan matikan dan gunakan tetapan 4G sahaja. 5G tidak boleh digunakan pun di Malaysia. Kalau pada peranti 5G Xiaomi lain akan saya galakkan hidup 5G untuk ia tarik line lebih baik, 11T Pro sudah cukup stabil dan mematikan 5G akan menjimatkan lagi bateri.

GPS juga tidak menjadi masalah. Semasa saya gunakan Google Maps mencari arah jalan ke pejabat, tidak ada masalah daripada mengunci lokasi dan arahan selok-belok adalah tepat dan pantas.

Kamera

Konfigurasi tri-kamera dengan tawaran pelbagai mod videografi sememangnya mengelirukan. Tetapi jika anda lihat demonstrasi yang Xiaomi tunjukkan semasa pelancaran semuanya menggunakan peralatan tambahan yang sememangnya di luar kemampuan mereka yang akan membeli peranti ini. Xiaomi menggunakan alatan tambahan atau aksesori kamera kerana peranti ini tiada OIS.

Tanpa OIS dan bergantung kepada EIS sahaja adakah kekurangan untuk rakaman video atau menangkap gambar pada waktu malam atau ketika menggunakan mod malam. Dalam pemidang tilik aplikasi kamera pasti akan terhuyung-hayang dan akan membuatkan pengguna rasa menjengkelkan.

Rakaman video ada sedikit masalah keseimbangan putih yang tidak konsisten serta masalah fokus yang kejap fokus pada diri saya dan kejap fokus kepada latar belakang. Jelas di sini menggunakan mod auto adalah tidak digalakkan dan kemampuan Cinemagic adalah untuk penuras, mod tambahan yang terbina pada aplikasi kamera.

Apa yang buat saya teruja adalah kemampuan telemakro yang cukup baik dan cantik. Tidak kita untuk gambar atau video ia memuaskan.

Setiap mod kamera, termasuk swafoto boleh dikatakan berada dalam jangkaan kami. Iaitu untuk peranti yang tidak sampai RM2500 oleh Xiaomi ia cukup memuaskan. Zum digital tidak perlu cakap lebih, memang tidak berkualiti.

Mod AI yang tidak konsisten amat menjengkelkan sedangkan kemampuan yang Xiaomi banggakan ini sepatutnya bergantung kepada perisian mereka. Jelas di sini dengan Mi 11 yang masih dijual, itu adalah peranti fotografi dan videografi terbaik mereka. Penawaran peranti ini adalah pilihan kepada pengguna untuk tidak membelanja pada harga mencapai RM3000.

Audio

Walaupun peranti ini dijual pada harga yang agak mampu milik berbanding peranti mercu lain, sistem pembesar suara stereo yang ditawarkan adalah kelas premium. Ditala oleh Harmon/Kardon, mendengar muzik, bermain permua, menstrim video – semuanya memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Audio yang keluar daripada kedua-dua pembesar suara cukup seimbang, tidak begitu kuat sehingga pecah, malah apabila dikawal ianya konsisten dan tidak terlampau perlahan apabila diturunkan.

Sepanjang penggunaan peranti ini, amat jarang saya tambatkan dengan TWS yang saya miliki kerana ia sudah enak dan menarik. Walaupun ianya Harmon/Kardon, sokongan Dolby Atmos masih boleh digunakan pada Apple Music yang mana ia tidak hadir pada Mi 11 yang dilancarkan awal tahun.

Bateri

Bateri peranti adalah 5000mAh yang mana agak besar untuk sebuah peranti mercu. Dengan skrin AMOLED dan sokongan kadar segar semula 120Hz, sudah semestinya tetapan utama yang digunakan adalah sentiasa 120Hz. Sepanjang hampir dua minggu penggunaan peranti ini, ketahanan bateri dalam penggunaan biasa adalah sekitar 5-6 jam SOT tanpa sebarang masalah. Manakala sekitar 4-5 jam penggunaan ekstrem.

Cip Snapdragon 888 dengan bateri 5000mAh yang boleh bertahan seperti ini dengan 120Hz pada hemat kami adalah satu perkara biasa. Apa yang luar biasa adalah, sokongan pengecasan pantas peranti ini yang terlampau pantas sehinggakan Xiaomi terpaksa memanggil namanya sebagai pengecasan-hiper.

Ia menyokong 120W yang boleh mengecas daripada 0%-100% bawah 20 minit. Masa 17 minit yang Xiaomi tunjukkan itu adalah ujian makmal, dalam ujian kami sekitar 17 minit hanya boleh diperoleh jika peranti mati. Manakala jika peranti hidup dengan notifikasi masuk, WiFi aktif – masa pengecasan adalah sekitar 19-25 minit. Juga agak pantas.

Ini memang gila!

Pesaing

Xiaomi 11T ProAsus Zenfone 8 FlipXiaomi Mi 11
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
(~395 ppi), 120Hz, Dolby Vision
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
900Hz (~395 ppi), HDR10+
6.81″ AMOLED, 1440 x 3200
(~515 ppi), HDR10+, 120Hz
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Adreno 660Adreno 660Adreno 660
8/12 GB LPDRR58 GB LPDRR58 GB LPDDR5
256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
108+8+5 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel
f/1.8+f/2.4+f/2.2, OIS
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel
f/1.9+f/2.4+f/2.4, OIS
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
Flip kamera belakangKamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000mAh
(Berwayar 120W)
5000mAh
(Berwayar 30W)
4600 mAh
(Berwayar 55W)
(Nirwayar 50W)
Harga bermula RM2099Harga RM2999Harga 2999

Kesimpulan

Xiaomi 11T Pro adalah sebuah peranti mercu mampu milik terbaik sekali lagi, sama seperti Mi 10T Pro tahun lalu. T pada nama peranti sememangnya sesuai untuk Terpaling Pro, Terbaik, Terhebat, Terunggul dan banyak lagilah. Daripada kualiti paparan yang memuaskan. kualiti audio yang enak serta pengalaman penggunaan yang hebat. Sistem getaran juga mempunyai kualiti kelas premium.

Masalah pada peranti ini adalah ia tidak mempunyai OIS yang menjadikan hasil mod malam tidak begitu baik. Masalah MIUI seperti notifikasi dilihat tiada sepanjang penggunaan saya, tetapi iklan dan aplikasi gendut terpasang masih ada. Amat menjengkelkan, apabila sistem kerap memberi notifikasi untuk saya aktifkan Wallpaper Carousel.

Kemampuan rakaman video juga dilihat cukup baik jika menggunakan mod Vlog, mod Cinema dan penuras lain. Tetapi mod rakaman biasa dengan AI ada sedikit masalah yang tidak konsisten. Tetapi apa boleh buat, harga mampu milik haruslah ada pengorbanannya. Dengan peranti yang dijanjikan menerima kemas kini sistem operasi sehingga tiga tahun dan sekuriti sehingga empat tahun, Xiaomi ada masa untuk membaiki pelbagai isu.

Dengan harga jualan RM2099 untuk 8/256 GB dan RM2299 untuk 12/256 GB, sememangnya cukup berbaloi.


Pro

  • Paparan dengan Dolby Vision dan 120Hz yang konsisten
  • Audio Harmon/Kardon dan Dolby Atmos yang enak
  • Prestasi keseluruhan yang memuaskan
  • Bateri yang boleh diterima dengan pengecasan pantas 120W
  • Kemampuan kamera pada videografi yang semakin baik untuk peranti Xiaomi
  • Harga mampu milik

Kontra

  • Sistem operasi yang ada masalah but semula rawak
  • Kemampuan fotografi mod malam yang tidak memuaskan kerana tiada OIS
  • MIUI versi global masih tidak sekata dengan versi China
  • Sukar untuk dibeli kerana cepat habis stok
Komen