Cari @ Amanz

Peranti mercu daripada ZTE sudah lama tidak memasuki pasaran Malaysia. Tanpa ribut dan petir, secara tiba-tiba ZTE Axon 30 Ultra 5G iaitu antara peranti mercu terkini mereka telah dijual d Malaysia sejak beberapa bulan lalu. Sudah tentu kami di Amanz yang mempunyai sifat ingin tahu mengenai peranti ini, menguji peranti ini.

Apakah keistimewaannya? Sedikit informasi untuk anda, ini adalah peranti ZTE yang dilancarkan di China bulan April lalu dengan fokus terhadap fotografi – di mana mereka menyertakan 3 sensor 64MP yang berbeza. Persoalannya adakah peranti ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk kembali mencuba peranti ini?


Spesifikasi Dan Rekaan

ZTE Axon 30 Ultra 5G
Skrin6.67″ AMOLED 1080 x 2400 (~395 ppi)
FHD+, 144Hz
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Cip GrafikAdreno 660
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama64MP Sudut Lebar f/1.6, OIS
64MP Sudut Ultra Lebar 120 darjah, f/2.2
64MP Potret f/1.9
8MP Periskop Telefoto 5x optikal zum, OIS
Kamera Swafoto16 Megapixel
Bateri4600 mAh
Pengecasan berwayar 65W
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Optikal
Harga JualanRM3599

ZTE Axon 30 Ultra 5G ini dilengkapi dengan skrin AMOLED FHD+ beresolusi 1080 x 2400, serta mempunyai kadar segar semula 144Hz. Ia dijana dengan cip Snapdragon 888 dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 3.1.

Peranti ini menggunakan konfigurasi kuad-kamera daripada tiga sensor 64MP dan satu sensor 8MP, bersama-sama dengan sensor 16MP untuk kamera swafoto. Bateri yang digunakan adalah 4600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Ia merupakan peranti dwi-SIM 5G tanpa sokongan slot kad mikroSD, tiada port bicu audio 3.5mm, tiada sokongan perlindungan air dan mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin.

Peranti ini menjalankan sistem operasi MyOS 11 berasaskan Android 11. Ia adalah sistem ZTE tersendiri yang cukup ringkas dan mudah digunakan. Rekaan peranti ini juga cukup unik dengan penggunaan skrin melengkung dan bezel nipis serta ada lubang pada skrin di bahagian tengah dan kekisi untuk earpiece di bahagian bezel atas.

Di belakang peranti terdapat bonggol kamera berbentuk segi empat yang agak besar tetapi tidaklah begitu tebal. Kemasan yang seakan kusam tetapi masih licin serta tiada corak aneh selain logo ZTE di bawah hujung – menjadikan peranti ini kelihatan begitu minimalis.

Tiada apa-apa di sisi kiri peranti, manakala pada sisi kanan adalah butang kuasa dan butang aras suara. Di bawah adalah slot kad SIM, kekisi pembesar suara dan port USB-C – manakala di atas pula tiada apa-apa. Rekaan peranti ini terasa lebih segar dan menarik berbanding kebanyakan peranti lain yang berada di pasaran.

Penggunaan Dan Perisian

Untuk skrin peranti ini, panel AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 144Hz amat menarik perhatian. Kerana spesifikasi seperti ini biasa ditemui pada peranti gaming sahaja. Skrin ini tiada masalah sentuhan dan kadar segar semula cukup baik dan konsisten pada tetapan paling tinggi. Cuma di antara 120Hz dan 144Hz, tidak begitu banyak beza boleh dirasakan kecuali kalau terus lompat kepada 90Hz.

Segala tatalan, peralihan skrin, sentuhan semuanya baik sekali. Masalah pada skrin ini adalah, pertama ia tidak menyokong paparan HDR sama ada di YouTube atau di Netflix ia tidak menyokongnya. Kemudian perisian atau sensor yang membantu untuk sistem kecerahan automatik tidak begitu baik. Anda boleh lihat dengan jelas gambar, skrin dilihat kebiruan – ini berlaku secara tiba-tiba.

Bukan itu sahaja, paparan AMOLEDnya pada waktu malam tidak mematikan piksel berwarna hitam dan menjadikan ada kesan pecah-pecah yang menjengkelkan. Bukan sahaja pada warna hitam, warna gelap lain akan ada kesan ini juga. Pelbagai tetapan telah digodek, tiada satu pun dapat menyelesaikan masalah ini. Lebih aneh, ia berlaku pada waktu malam sahaja.

Menggunakan peranti ini untuk multi-tugasan tiada masalah. Peranti mampu dikendalikan dengan baik. 12GB RAM dan Snapdragon 888 adalah padanan yang terbaik. Sepanjang penggunaan semuanya terasa lancar dan baik, kecuali masalah pada beberapa aplikasi yang tertutup dengan sendiri dan lengah masa yang berlaku secara tiba-tiba apabila menonton video.

Bayangkan sedang seronok menonton video, ia boleh lengah masa secara tiba-tiba pada tahap yang amat menyakiti hati. Teori kami adalah masalah perisian, kerana sistem kecerahan tadi, warna dan semuanya bergantung kepada perisian. Banyak sahaja peranti menggunakan panel lebih kurang sama, tetapi tidak pernah lagi ada masalah ini.

Sistem operasi peranti ini, iaitu MyOS 11 adalah patut disalahkan menjadi punca peranti ini sukar untuk kami galakkan.

Kami mulakan dengan yang baik terlebih dahulu. MyOS 11 adalah sistem operasi berasaskan Android 11 daripada pengeluar peranti China yang paling suci pernah kami temui. Tiada aplikasi gendut sedia terpasang, sehinggakan galeri adalah Google Photos, kalkulator adalah daripada Google, dan aplikasi MyOS tersendiri hanyalah perakam suara, pengurus fail peribadi, aplikasi untuk pemindahan data dari satu peranti ke peranti lain, pengurus fail dan kamera sahaja.

Tetapan juga ringkas dan mudah digunakan, semuanya tersusun rapi. Tetai standard untuk sistem operasi keluaran China, dalamannya akan ada beberapa ciri dan fungsi tambahan untuk memberi rempah ratus agar pengalaman penggunaan lebih menarik. Sedikit pada kustomasi, sedikit pada audio dan lain-lain yang mungkin tidak begitu menjengkelkan pun.

Rekaan antaramuka yang dilihat agak asli dan tersendiri dengan sedikit elemen EMUI dan MIUI jelas kelihatan. Menggunakan peranti dengan MyOS ini akan memberikan satu pengalaman menarik. Cuma, ia tidak stabil.

Ia seakan sistem operasi beta, malah Android 12 beta 5 yang kami gunakan pada beberapa peranti Pixel adalah lebih lancar. Ia ada masalah prestasi yang tidak konsisten menjadikan sistem sedikit tergendala. Mengganggu tugasan harian, tersangkut-sangkut secara rawak serta membuatkan kami rasa, “Kenapa semua sudah baik, tetapi OSnya menimbulkan kemarahan!!!”

Membuatkan kami terfikir, bagaimanakah ZTE akan menjaga kemas kini peranti ini?

Kemudian masalah paling menjengkelkan adalah banyak aplikasi perbankan tidak boleh digunakan atau juga aplikasi dompet digital. Semua aplikasi ini akan mengesan peranti telah diroot sedangkan kami tidak melakukan sebarang modifikasi pada peranti.

Permua Dan Penanda Aras

Bermain permua pada peranti ini langsung tiada masalah. Masalah hanya berlaku pada pelancar sahaja untuk tugasan ringan. Permua grafik tinggi seperti PUBG Mobile, COD Mobile, Asphalt 9 pada tetapan tinggi semuanya berjalan dengan lancar dan adalah amat memuaskan.

Skor penanda aras juga adalah yang kami jangkakan untuk peranti ini, iaitu 743,438 daripada AnTuTu dan 1105/3398 daripada Geekbenh 5 untuk satu teras dan multi-teras. Ini adalah skor yang memuaskan dan tidak mengejutkan prestasi permua semua adalah baik. Cuma masalah perisian akan membuatkan peranti ini di tahap “Rasa macam nak campak kalau asyik force stop semua aplikasi”

Kamera

Kamera peranti ini adalah daripada sensor Sony IMX686 64MP sudut ultra lebar dengan OIS serta bukaan lensa f/1.6. Kemudian ditemani dengan dua lagi sensor 64MP daripada sensor Samsung GW3 dengan sudut pandangan 120 darja darjah dan bukaan f/2.2 serta untuk potret dengan bukaan f/1.9. Sensor terakhir adalah daripada pembekal yang tidak diketahui yang menawarkan saiz 8MP jenis periskop telefoto yang mempunyai OIS, 5x zum optikal dan 60x zum digital.

Hasil gambar swafoto daripada peranti ini bukanlah yang terbaik. Sensor 16MP ini mempunyai hasil yang biasa-biasa sahaja. Jika mod potret ia ada sedikit masalah apabila subjek memakai topi. Malah mod potret peranti ini juga tidak begitu kemas berbanding kebanyakan peranti lain. Jika ambil mod biasa iaitu automatik dan pada waktu malam – ia mempunyai hasil yang bolehlah.

Mod auto dan mod jarak dekat (bukan makro) dilihat antara yang terbaik. Jelas di sini ZTE memberi fokus penuh terhadap sensor 64MP mereka. Dari segi warna dan fokus semuanya baik sekali. Pendedahan terhadap cahaya, keseimbangan warna putih, butiran dan lain-lain dipelihara dengan baik sekali. Fokus juga adalah pantas.

Hasil warna yang cukup hidup memberikan setiap gambar kelihatan realistik. ZTE turut menawarkan mod warna untuk bermain dengan penuras seperti fokus pada subjek ada warna dan latar belakang menjadi monokrom. Mod penuras ini dilihat tidak begitu menarik pada mata kami. Tetapi kami yakin ada di antara pembaca gemarkan profil warna seperti gambar di bawah.

Hasil sudut ultra lebar juga amat memuaskan dengan hasil warna yang konsisten, tiada kesan herotan yang dahsyat. Ia cukup seimbang dan sedap mata memandang. Tidak kira di luar atau di dalam bangunan, hasilnya menarik perhatian mata kami.

Kemampuan zum dilihat cukup baik, seperti biasa 5x optikal mampu memaparkan butiran yang jelas tetapi sensor 8MP mungkin tidak cukup besar. Zum digital menjadikan gambar hilang terus warna asal dan mempunyai banyak kesan hingar walaupun di siang hari.

Mod malam pada hemat kami ia hanya baik pada sesetengah waktu sahaja. Apabila ia jadi, ia jadi dan apbila tidak anda lihat di bawah bangunan seakan ada kesan cahaya menyala-nyala dan tidak begitu kemas. Mod malam manusia pula agak baik jika ada sumber cahaya yang sedikit di sekeliling seperti lampu jalan atau sumber cahaya yang statik.

Mod bulan pada hemat kami adalah antara yang terbaik dengan kemampuan yang cukup stabil dan pemidang tilik dapat mencari lokasi bulan dengan baik sebelum pengguna boleh mengambil gambar. Tangkapan tanpa tripod akan membantu kerana sensor telefoto untuk zum ini ada OIS. Tetapi jika ada tripod hasilnya lebih mengancam.

Video pula antara kekuatan pada peranti ini. Hasilnya cukup baik, seperti gerak perlahan jika ada cahaya yang banyak ia mampu menghasilkan kualiti yang unik. Tetapi fokusnya sedikit aneh dan kadangkala jika ada cahaya pun hasil tidak begitu baik walaupun tetapan 1080p. Untuk rakaman 1080p auto ia mempunyai fokus yang pantas dan warna yang baik. Manakala pada 4K, ia sedikit lebih bergegar – tetapi warna dan audio adalah cukup baik.

Audio

Audio peranti ini melalui pembesar suara stereo yang digunakan adalah antara yang terbaik dalam mana-mana peranti mercu yang pernah kami uji. Ia cukup seimbang, lantang, mempunyai kualiti yang memberangsangkan dan memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Sistem audio peranti ini adalah daripada DTS: X Ultra dan juga menyokong audio HiFi secara natif.

Ini bermakna jika anda ada IEM yang menyokong HiFi atau aksesori tambahan seperti DAC/Amp mudah alih, peranti ini boleh menyokong peranti yang diiktiraf dengan baik sekali. Kali terakhir sokongan seperti ini kami lihat adalah pada peranti LG. Tetapi aplikasi penstriman muzik atau fail muzik haruslah daripada format yang sepatutnya.

Telefoni Dan GPS

Peranti ini juga mempunyai sambungan rangkaian data mudah alih yang cukup stabil dan pantas. Sepanjang penggunaan kami tidak ada masalah untuk sambungan 4G serta VoLTE sepanjang masa. Penggunaan WiFi juga agak baik. Panggilan telefon dengan peranti ini juga cukup terang dan jelas, walaupun peranti bersaiz sedikit besar ia tidak berat dan selesa sahaja.

Penggunaan GPS juga tidak menjadi masalah pada peranti ini. Ia mengunci lokasi dengan pantas dan mampu memberikan arahan selok-belok dengan baik. Malah apabila kongsi lokasi pada WhatsApp atau menggunakan fungsi Check In pada mana-mana aplikasi media sosial juga cukup tepat.

Bateri

Masalah besar lain pada peranti ini selain daripada MyOS 11 yang tidak stabil adalah, bateri yang tidak begitu tahan laman. Tetapan 144Hz atau 120Hz seakan tiada beza dari segi penggunaan bateri. Malah tetapan 90Hz pun hanya mempunyai perbezaan yang amat sedikit.

Sepanjang penggunaan peranti ini tidak kira ekstrem atau penggunaan biasa, SOT hanyalah sekitar 4 jam ke 5 jam sahaja. Tidak pernah kami menerima sehingga lebih 5 jam. Pengecasan pantas 65W memang membantu, tetapi untuk kapasiti bateri yang menghampiri 5000mAh dan peranti bertaraf mercu mempunyai bateri seperti ini adalah tidak memuaskan.

Pesaing

ZTE Axon 30 Ultra 5GAsus Zenfone 8 FlipXiaomi Mi 11 Ultra
6.67″ AMOLED 1080 x 2400
(~395 ppi), FHD+, 144Hz
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
90Hz (~395 ppi), HDR10+
6.81″ AMOLED, 1440 x 3200
(~515 ppi), HDR10+, 120Hz
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Adreno 660Adreno 660Adreno 660
12 GB LPDRR58 GB LPDRR512 GB LPDDR5
256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
64+64+64+8 Megapixel
f/1.6+f/2.2+f/1.9
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel
f/1.8+f/2.4+f/2.2, OIS
Kamera Utama
50+48+48 Megapixel
f/2.0+f/4.1+f/2.2, OIS
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Flip kamera belakangKamera Hadapan
20-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airIP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, HiFiAudio StereoAudio Stereo
4600mAh
(Berwayar 65W)
5000mAh
(Berwayar 30W)
5000 mAh
(Berwayar 67W)
(Nirwayar 67W)
Harga RM3599Harga RM2999Harga RM4299
Tidak lagi dijual

Kesimpulan

Tidak dinafikan yang peranti ZTE Axon 30 Ultra 5G ini menarik perhatian. Ia mempunyai rekaan yang seksi, spesifikasi mantap, kamera hebat dan adalah sebuah peranti premium. Sayang sekali paparan yang tidak begitu memuaskan untuk tonton kandungan, kamera swafoto yang biasa sahaja, dan perisian yang amat terus adalah perkara yang amat mengecewakan untuk sebuah peranti berharga RM3,299 ini.

Kelebihan peranti ini pada mod fotografi dan videografi auto, mod malam, bermain permua dan audio sahaja. Lain-lain peranti ini banyak kekurangannya. Harga jualan seperti ini adalah tidak boleh dimaafkan, Xiaomi yang ada masalah MIUI pun tidak seteruk peranti ini dan mereka boleh dimaafkan kerana harga jualan peranti adalah mampu milik.

ZTE, anda patut cuba lagi.


Pro

  • Prestasi yang menarik
  • Pengalaman penggunaan kamera yang memuaskan
  • Kualiti audio yang gila hebat, sokong audio nirhilang
  • Kemasan yang sedap dan premium

Kontra

  • Sistem operasi bermasalah
  • Bateri sangat lemah
  • Harga yang agak mahal
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd