Apple iPhone 13 telah mula dijual di beberapa negara gelombang pertama. Sementara menanti pratempahan dibuka di Malaysia pada 1 Oktober, mereka yang berminat untuk membeli peranti perlu menyedari pada waktu ini majoriti aplikasi masih belum menyokong mod ProMotion.Menerusi ProMOtion, skrin akan menyokong kadar segar semula 120Hz yang akan membuatkan aplikasi terasa berjalan lebih lancar.
Menurut laporan 9to5Mac, pada waktu ini hanya aplikasi yang dibangunkan Apple menyokong ProMotion. Aplikasi pihak ketiga masih dihadkan ke kadar segar semula 60Hz yang digunakan selama ini. Apple berkata pembangun aplikasi perlu mengaktifkan tetapan kadar semula tinggi pada aplikasi. Dokumen panduan bagaimana ia boleh diaktifkan akan diberikan oleh Apple kelak.
Kemas kini turut akan diberikan kepada iOS kelak untuk mengelakkan pepijat yang menghalang aplikasi dari mengakses mod ProMotion kelak. Jadi selagi kemas kini tidak diberikan oleh Apple dan pembangun aplikasi, skrin ProMotion iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max akan masih kekal di takuk 60Hz yang lama.