Carian
Xiaomi Civi Kini Rasmi – 3D OLED 120Hz, Swafoto 32MP Dengan Mod Kecantikan Realistik Dan Tubuh Gila Nipis
September 27, 2021 Fahim Zahar

Xiaomi nampaknya masih belum berhenti melancarkan telefon pintar mereka untuk tahun ini. Selepas 11 peranti dalam siri Xiaomi 11 dan Mi 11, beberapa peranti dalam siri Redmi 10 dan Redmi Note 10, pelbagai variasi Poco dan terkini mereka dilihat melancarkan siri baharu pula yang digelar Civi.

Peranti ini memfokuskan kepada gaya hidup dan lebih kepada swafoto, di mana mereka menyatakan menggunakan teknologi baharu untuk kualiti gambar potret yang lebih baik dengan mod kecantikan yang lebih realisitik. Menurut Xiaomi, Civi adalah pesaing kepada Vivo S10 dan Oppo Reno6 Pro.

Peranti ini hadir dengan skrin 6.55-inci daripada panel 3D OLED jenis fleksibel dan melengkung yang menyokong kadar segar semula 120Hz serta paparan HDR10+ dan Dolby Vision. Xiaomi Civi dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 778G yang dipadankan dengan pilihan memori mencapai 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Kapasiti bateri adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 55W. Tubuh peranti direka dengan rekaan gila nipis iaitu 6.98mm serta menawarkan bezel nipis untuk penggunaan skrin lebih imersif. Panel belakang adalah daripada kaca AG Velvet untuk warna cerun yang unik dan ceria serta kemasan kusam yang lembut. Peranti ini turut hadir dengan pembesar suara stereo Dolby Atmos.

Kamera swafoto adalah 32MP dengan janji kualiti HD, mempunyai sokongan dwi lampu flash jenis cahaya lembut daripada skrin, sokongan auto-fokus dan juga mampu menawarkan mod kecantikan yang lebih natural dan realistik melalui algoritma dan kecerdasan buatan di tahap piksel. Melalui teknologi ini yang Xiaomi katakan pertama kali digunakan, tekstur kulit akan dipulihkan serta mempunyai sistem yang adil pada semua jenis kulit.

Kamera utama menggunakan konfigurasi tri-kamera daripada sensor 64MP+8MP+5MP dengan sokongan sudut ultra lebar serta fotografi telemakro. Harga jualan Xiaomi Civi adalah RMB 2,599 untuk 8/128 GB (~RM1813), RMB 2,899 untuk 8/256 GB (~RM1878) dan RMB 3,199 untuk 12/256 GB (~RM2073). Pilihan warna yang ditawarkan adalah hitam, merah jambu dan juga biru.

Buat masa ini ia dilihat hanya ditawarkan di China sahaja. Tidak pasti sama ada model yang mirip sebuah peranti Vivo dan Oppo dalam kategori fokus kepada gaya hidup ini akan memasuki pasaran Malaysia ataupun tidak.

Apa kata anda mengenai peranti baharu Xiaomi ini?

Komen