Carian
Xiaomi Watch Color 2 Turut Dilancarkan – Skrin 1.43-Inci AMOLED, 200 Muka Jam Dan Bateri 12 Hari
September 27, 2021 Fahim Zahar

Xiaomi Mi Watch Lite adalah jam tangan pintar pertama Xiaomi yang memasuki pasaran global. Sebulan selepas itu Xiaomi Mi Watch pula dilancarkan. Kedua-dua jam ini turut dijual di Malaysia, yang mana Mi Watch adalah iterasi Mi Watch Color sahaja dan bukannya Mi Watch versi China yang berasaskan Wear OS.

Terkini, Xiaomi telah melancarkan Xiaomi Watch Color 2. Ia adalah jam tangan pintar asas pertama mereka hadir tanpa nama Mi. Ia menggunakan skrin 1.43-inci AMOLED, 60Hz dan 326 ppi. Xiaomi turut menawarkan lebih daripada 117 mod sukan, sokongan dwi-GPS, perlindungan air sehingga 5ATM.

Sistem operasi adalah yang tersendiri dengan penawaran sehingga lebih 200 muka jam yang menarik. Ia turut boleh memaparkan pelbagai maklumat cuaca, pemantauan dan pengimbasan nadi serta SpO2 24 jam, pemantauan tidur pengguna 24 jam dan juga fokus kepada kesihatan wanita.

Bateri jam ini adalah 470mAh dengan ketahanan sehingga 12 hari. Ia agak menarik, kerana jam bersaiz besar boleh tahan seperti Xiaomi Smart Band 6. Xiaomi juga bekerjasama dengan beberapa aplikasi kecergasan pihak ketiga untuk memudahkan pengguna melog data-data mereka.

Harga jualan adalah RMB 999, iaitu sekitar RM647. Buat masa ini jualan terhad di China sahaja, tidak pasti jika ia akan ditawarkan di Malaysia sebagai Xiaomi Watch 2 tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.

Komen