Cip terpantas di dunia masih tidak mampu menandingi kemampuan otak manusia yang cukup kompleks. Maka sejak 1980an, penyelidik cuba membangunkan cip neuromorfik yang mempunyai struktur seakan otak manusia. Di Samsung mereka percaya cip neuromorfik ini dapat dicapai dengan proses menyalin tampal struktur neuron otak ke sebuah cip dengan bantuan penyelidik dari Harvard University.
Peta sambungan neuron pada otak disalin menggunakan teknologi nanoelektrod sebelum ditampal pada memori keadaan pepejal dalam rangkaian tiga dimensi berkepadatan tinggi. Dengan struktur tiga dimensi, cip seakan otak manusia dapat dihasilkan di masa hadapan.

Penyelidik percaya cip memori yang dihasilkan dengan teknologi salin tampal ini bakal menggunakan kuasa yang rendah, menyesuaikan dengan persekitaran, mempunyai autonomi dan kemampuan kognisi seperti otak. Teknologi kemudiannya boleh digunakan bukan sahaja pada SSD tetapi juga pada RAM peranti.
Hasilnya kelak di masa hadapan sistem kecerdasan buatan dengan kemampuan berfikir seperti otak manusia sebenar boleh menjadi realiti. Otak manusia dianggarkan mempunyai 100 bilion neuron. Sebuah cip neuromorfik menurut Samsung memerlukan sehingga 100 trilion memori untuk memberikan saingan kepada otak. Ini ialah jumlah memori yang besar dan oleh sebab itu susunan memori secara tiga dimensi ialah salah satu cara menjadikannya realiti.
Kertas kajian Samsung dan Harvard ini telah diterbitkan dalam jurnal Nature Electronics.
Sumber Samsung