Realme kini berkongsi perancangan untuk hadir dengan beberapa produk baharu di India pada penghujung bulan ini iaitu 30 September 2021. Melihat pada beberapa ciapan terkini di Twitter rasmi Realme India, produk-produk yang bakal dilancarkan kelak terdiri daripada peranti kelengkapan rumah pintar. Antaranya seperti Realme TechLife Air Purifier, Realme Robotic Vacuum Cleaner dan Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner.

Melihat perkongsian di laman web rasmi, Realme TechLife Air Purifier akan menampilkan sistem penapisan tiga tahan dan berupaya menapis kandungan udara PM 2.5 sehingga 99.95%. Kemudian, ia dikatakan hanya mengambil masa sekitar 14.4 minit untuk membersihkan bilik seluas 30 meter persegi, di samping turut sama mempunyai lima mod kipas pada pembersih udara. Ia juga akan mempunyai penunjuk kualiti udara masa nyata, selain sokongan pemasa yang membolehkan pengguna menyahaktifkan penapis udara secara automatik.

Seterusnya, Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner merupakan vakum nirwayar pintar yang mempunyai kuasa sedutan 140W pada kelajuan 10,500RPM dengan kekuatan maksimum 9.5KPa. Ia juga mempunyai penapis HEPA yang boleh ditanggalkan untuk dicuci dan seperti beberapa lagi aksesori lain untuk kegunaan pembersihan. Tidak ketinggalan, ia juga dikatakan mempunyai ketahan bateri yang panjang.

Kemudian, Realme Robotic Vacuum Cleaner pula jelas menunjukkan ia berkemungkinan besar adalah robot penyedut hampagas yang diumumkan di Eropah, tempoh hari. Dengan reka bentuk luaran yang sama – sekaligus menguatkan lagi dakwaan ini.
Jika benar, ia akan ia dilengkapi sensor LiDAR dengan kemampuan berpusing 360 darjah bagi bergerak bebas tanpa sebarang halangan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengemop lantai secara automatik. Pada masa sama, turut dilengkapi bateri sebesar 5,200 mAh, ruang tempat simpanan sampah berkapasiti sehingga 600 ML dan motor dengan kadar kelajuan sedutan 3,000Pa.

Dalam perkembangan berbeza, kesemua produk yang dinyatakan turut telah tersenarai menerusi laman web rasmi Realme Malaysia. Ini sekaligus memberi bayangan bahawa produk-produk berkenaan bakal ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Pada masa sama, Realme Robotic Vacuum Cleaner telah ditemui menerusi aplikasi Realme Link. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan penawaran lebih lanjut mengenai kesemua produk ini sewaktu pelancaran rasmi kelak.