Carian
Kamera Utama iPhone 13 Pro Menerima Skor 137 Mata Dalam DxoMark
September 28, 2021 Amy Maizuraa

Apple telah mengemaskini rangkaian telefon pintar dengan memperkenalkan siri iPhone 13, tempoh hari. Terdapat sehingga empat model yang telah diperkenalkan dan salah satu daripanya adalah iPhone 13 Pro. Pada masa sama, Apple juga dikatakan telah membuat beberapa perubahan pada sistem kamera untuk kesemua model iPhone 13.

Terkini, DxoMark dilihat telah berkongsi laporan mengenai keupayaan kamera utama pada iPhone 13 Pro. Melaluinya, telefon pintar berkenaan berjaya menerima markah keseluruhan sebanyak 137 mata. Untuk ringkasan ujian, ia mendapat 144 mata untuk keupayaan kamera, 76 mata untuk keupayaan zum dan 119 mata pula untuk kemampuan video.

Secara keseluruhannya, ia sekaligus memposisikan iPhone 13 Pro berada di belakang Huawei P50 Pro dengan 144 mata, Xiaomi Mi 11 Ultra (143 mata) dan Huawei Mate 40 Pro+ (139 mata). Namun begitu, iPhone 13 Pro dilihat berjaya mengatasi Huawei Mate 40 Pro (136 mata) dan Xiaomi Mi 10 Ultra (133 mata).

Menurut DxoMark, prestasi keseluruhan kamera pada iPhone 13 Pro agak serupa dengan pendahulunya, iPhone 12 Pro. Namun begitu, masih terdapat penambahbaikan untuk beberapa aspek. Misalnya, warna dan kontras telah diperbaiki dan hasil gambar menunjukkan tahap perincian lebih baik – terutamanya tangkapan gambar potret.

Seterusnya, pujian turut diberikan pada kemampuan kamera berfungsi dengan baik bersama pendedahan yang tepat. Kemudian, penghasilan semula warna juga baik dengan keseimbangan putih yang tepat. Tidak ketinggalan, ia juga menawarkan fungsi autofokus yang kini lebih baik pantas.

Namun begitu, ia dikatakan tidak mempunyai perincian yang baik ketika zum atau rakaman jarak jauh. Pada masa sama, kritikan turut diberikan pada julat dinamik yang terhad – terutamanya dalam situasi kontras yang tinggi. Bukan itu sahaja, rakaman video turut menunjukkan kehilangan tekstur pada wajah untuk sesetengah keadaan.

Di Malaysia, iPhone 13 Pro ditawarkan pada harga bermula RM4,899. Kemudian, ia diikuti dengan iPhone 13 pada harga bermula RM3899, iPhone 13 Mini bermula RM3,399 dan iPhone 13 Pro Max bermula RM5,299. Apple turut sama mengesahkan yang mana kesemua model akan mula ditawarkan di Malaysia bermula 8 Oktober ini.

Sumber : DxoMark

Komen