Pangkalan Data Mengandungi Data Rakyat Malaysia Diiklan Untuk Jualan

Diterbitkan pada Sep 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ketirisan data peribadi merupakan salah satu perkara serius yang menjadi igauan ramai pengguna. Terbaharu, melalui Lowyat, ia didapati hadir sebuah penyenaraian iklan baharu yang menawarkan data peribadi rakyat Malaysia, berjumlah 4 juta data.

Mengikut pengiklanan berkenaan, ia mengatakan data tersebut hadir daripada Jabatan Pendaftaran Negara, dan diperolehi melalui API MyIdentity. Untuk makluman, MyIdentity memudahkan perkongsian data antara platform kerajaan yang digunakan untuk mendapatkan data seseorang.

Namun, ia dilihat melalui penggunaan API, data peribadi sejumlah besar rakyat Malaysia dihimpunkan dan disenaraikan untuk jualan.

Mengikut apa yang disenaraikan untuk jualan, ia dikatakan data tersebut menyertakan info seperti nama, nombor telefon, alamat, nombor MyKAD, agama dan jantina. Data tersebut melibatkan mereka yang lahir antara tahun 1979 ke 1998.

Buat masa ini, kesahihan pangkalan data yang dijual ini tidak dapat dipastikan. Untuk makluman, sebelum ini penjual sama pernah menawarkan pangkalan data daripada laman edagang Ifmal, namun ia dikatakan penyenaraian palsu dan suatu fitnah oleh pihak Ifmal sendiri.

Sama-sama kita berharap agar pihak berkuasa menyiasat perkara ini, dan terus memastikan data para pengguna terjamin selamat.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami