Cari @ Amanz

Boeing B-52 Stratofortress melakukan penerbangan pertamanya pada tahun 1952 dan memulakan operasi dengan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF)sejak 1955. Ia adalah keluarga pesawat yang paling lama dalam inventori USAF dan kini semakin hampir untuk memasuki dekad ke-7 beroperasi secara aktif. USAF masih tiada perancangan untuk menghentikan operasi B-52 dan bagi meneruskan hayat operasi memilih Rolls Royce sebagai penyumbang enjin generasi baharu.

Di bawah program enjin gantian ini, enjin Rolls Royce F-130 akan menggantikan enjin Pratt & Whitney TF33-P-3 yang digunakan sekarang. Kos penggantian menelan belanja $2.6 bilion untuk 650 enjin – 608 untuk pesawat sedia adan dan 42 enjin simpanan. Yang membuatkan B-52 menarik dalam dunia aeronautik ialah setiap pesawat memerlukan lapan enjin untuk beroperasi. Pada tahun 1996 terdapat perancangan menggantikan lapan enjin ini dengan empat enjin lebih berkuasa telah ditolak kerana kosnya yang mahal.

Enjin Rolls Royce F-130 ini unik kerana ia sebenarnya dihasilkan untuk digunakan pada pesawat penumpang dan pesawat peribadi bersaiz kecil. Rolls Royce diberikan kontrak mungkin kerana ia enjin yang terbukti beroperasi dengan baik dan turut digunakan oleh USAF pada pesawat membawa pegawai dan pesawat komunikasi medan perang Bombardier E-11.

Walaupun sudah berusia hampir 70 tahun, Boeing B-52 akan terus beroperasi dengan USAF dan digandingkan dengan B-21 Raider yang sedang dibangunkan. Kerana ia terus dikemaskini dengan kemampuan membawa senjata terkini seperti peluru berpandu hipersonik, terdapat ramalan B-52 tiada masalah untuk kekal terbang sehingga 2055 – seratus tahun selepas mula memasuki inventori USAF.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd