Cari @ Amanz

Dengan pelancaran sistem operasi Windows 11 oleh Microsoft tidak lama lagi, Skype, perisian panggilan suara dan video milik syarikat tersebut juga baru-baru ini memperlihatkan kemaskini rekaan dan fungsi-fungsi baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Skype tidak akan ditawarkan secara terbina oleh Microsoft pada Windows 11 kelak, akan tetapi bahagian pembangunan Skype dilihat akan hadir dengan penawaran yang agak menarik dalam masa terdekat ini. Pertama ialah rekaan antaramuka yang lebih cerah dan ceria apabila anda membuka perisian tersebut. Rekaan yang lebih minimalis juga membolehkan pengguna memfokuskan kepada pengalaman menggunakan perisian ini.

Untuk panggilan video berkumpulan, Skype juga akan menggunakan sistem grid supaya ia tidak kelihatan seperti peserta-peserta lain tenggelam disebalik individu yang sedang bercakap, manakala pengguna sendiri boleh memilih untuk menyorokkan video anda sendiri daripada diri sendiri sekiranya anda mahukan.

Skype juga dilihat memperkenalkan fungsi melihat video yang diambil daripada Microsoft Teams. Ini termasuklah speaker view, grid view yang diperkatakan tadi dan juga Together Mode, yang membuatkan panggilan berkumpulan anda kelihatan seperti anda semua berada dalam satu ruang yang sama.

Satu lagi fungsi baru yang menarik ialah Twin Cam, dimana pengguna boleh menggunakan dua kamera dalam panggilan video yang sama, yang pada menurut Microsoft, boleh digunakan untuk berkongsi saluran video haiwan peliharaan anda.

Fungsi Meet Now yang diperkenalkan untuk membenarkan sesiapa pun memasuki panggilan Skype tanpa perlu mendaftar untuk akaun mereka sendiri juga akan dikemaskini untuk memperlihatkan pautan yang lebih kemas disamping sokongan untuk pelayar-pelayar web popular untuk mereka yang tidak mahu memasang aplikasi Skype pada komputer mereka.

Untuk menceriakan suasana panggilan video anda, Skype juga akan memperkenalkan tema warna baru untuk perisian ini yang sesuai dengan mood anda.

Kemaskini Skype terbaru ini dijangka akan tiba tidak lama lagi, tetapi tarikh khusus pelancarannya tidak diketahui lagi.

Sumber: Skype

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd