Poco telah mengesahkan bahawa Poco C31 adalah produk baharu yang bakal diperkenalkan pada 30 September ini. Ia merupakan model kemaskini untuk Poco C3 dan informasi mengenai telefon pintar berkenaan telah mula diperlihatkan sedikit demi sedikit menerusi laman web rasmi.
Poco C31 akan membawakan rekaan panel hadapan bertakuk kecil bersama penggunaan saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas skrin. Pun begitu, tidak pada bahagian bawah. Sebabnya, ia masih mempunyai rekaan bezel yang agak tebal pada bahagian berkenaan.
Seterusnya, Poco C31 juga akan menggunakan cip MediaTek Helio G35 dengan padanan 4GB RAM. Kalau perasan, ia adalah cip pemprosesan dan kapasiti memori yang sama digunakan pada Poco C3 sebelum ini. Kapasiti bateri masih tidak didedahkan secara khusus tetapi ia dikatakan mampu menawarkan jangka hayat bateri yang lama. Bukan itu sahaja, ia turut dikatakan berupaya menyajikan prestasi sekuriti peranti yang baik menerusi sokongan pengimbas cap jari dan imbasan wajah yang efektif.
Tiada lagi informasi lebih lanjut yang dikongsi buat masa ini. Tetapi, kita boleh menjangkakan peranti pintar ini besar kemungkinan akan berkongsi sejumlah besar spesifikasi yang terdapat pada model terdahulu. Cumanya, mungkin masih akan terdapat juga perubahan kecil yang dibuat untuk sejumlah aspek. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pekembangan selanjutnya mengenai Poco C31 ini.
Sumber : Poco India