Cari @ Amanz

Tahun 2020 ialah tahun yang cukup mencabar bagi aku sebagai seorang manusia dan Amanz sebagai sebuah syarikat penerbitan digital. Mencabar kerana keperluan bekerja dan hidup di rumah sepanjang masa. Terasa seperti seekor singa Serengeti yang dikurung di dalam sangkat Muzium Melaka. Mana nak sama dunia yang luas dengan sebuah rumah dengan keluasan lantai 1000 kaki persegi. Harus aku akui tiga bulan pertama adalah penuh cabaran kerana ia adalah melanggar fitrah manusia untuk tidak keluar dari rumah dan mengisi masa senggang dengan menonton TV. Sudah habis menonton skrin komputer pada waktu kerja, disambung dengan menonton skrin TV yang lebih besar. Sekelip mata fiksyen siri Black Mirror menjadi norma baharu.

Siang, malam, pagi dan petang kebosanan cuba dirawat dengan menstrim kandungan yang ditawarkan di Netflix, Disney+ Hotstar, Astro Go, YouTube, HBO GO, Spotify, Apple Music, dan Curiosity Stream. Jika sudah bosan dengan hiburan, Google Play Books dan Flipboard dibuka untuk membaca novel atau majalah kegemaran. Selepas hampir enam bulan berterusan dengan norma ini, aku akhirnya mengambi keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada media fizikal.

Ini semuanya bermula sekitar bulan Julai. Selepas terlalu bosan di rumah dan tiada kandungan menarik untuk ditonton (ini semua sebelum adalah zaman sebelum Squid Game) aku berkata kepada isteri perubahan besar perlu dilakukan mengenai susun atur rumah. Sudah tidak tertahan lagi 24/7 melihat meja, dinding, almari, TV, sofa, ottoman dan rak buku yang sama. Maka kesemuanya disusun semula untuk memberikan sedikit variety.

Dalam proses menyusun, ada barang yang perlu diturunkan dari tempat lama sebelum perabot boleh dipindahkan. Antara yang terawal dipindahkan ialah koleksi ratusan CD muzik, Blu-Ray, DVD, VHS, novel, majalah dan komik yang telah aku kumpul sejak berusia 11 tahun. Harta duniawi peribadi yang aku bawa dari rumah bujang ke rumah kelamin ini ada yang sudah berusia 31 tahun. Kesemuanya mempunyai lapisan debu yang agak tebal. Terbatuk-batuk aku dibuatnya semasa memindahkan.

Sekaligus epifani masuk mencucuk ke dalam medulla oblongata aku di saat itu. Perasaannya mungkin sama seperti ketika Archimedes menyasarkan isipadu air dalam kolah dan Siddharta duduk di bawah Bodhi. Kenapa aku masih menyimpan kesemua media-media fizikal ini sedangkan kali terakhir ia tersentuh mungkin semasa hari aku pindah ke rumah kelamin ini 9 tahun yang lalu.

Benda pertama yang dicampak keluar pada hari tersebut ialah koleksi majalah FourFourTwo, FHM, Ujang, Gempak, Gila-Gila, Mastika, PSM, OPM dan PC Gamer. Kemudian ia dengan segera diikuti pula oleh longgokan komik Hong Kong Tony Wong, Hui King Sum dan Mah Weng Seng yang dikumpul semasa di tingkatan 1. Yang terselamat hanyalah koleksi lengkap manga Dragonball, Slam Dunk, Detective Conan dan Doraemon. Mereka terselamat kerana manga saiznya kompak dan apabila disusun ikut nombor ada karya seni yang nampak cantik untuk dilihat. Ya estetik sahaja menyelamatkan manga dan mampus kali ini.

Kemudian DVD yang boleh aku katakan 80% adalah asli dimasukkan ke dalam kotak untuk simpanan kekal. Aku masih belum mempunyai keberanian untuk membuang koleksi yang nilainya ribuan ringgit seperti Apple membuang bicu audio iPhone beberapa tahun yang lalu. Membuang DVD sedikit sukar kerana wang yang telah dibelanjakan dan juga kandungan tambahan DVD yang tidak pernah ditawarkan pada perkhidmatan penstriman kecuali Criterion dan Apple TV.

Contoh terbaik ialah koleksi DVD Star Wars aku. Mahal memang mahal tetapi terdapat banyak video balik tabir pembikinan boleh ditonton. Disney+ Hotstar sekadar ini hanya menawarkan dokumentari Empire of Dreams sahaja dengan kandungan tambahan DVD yang berpuluh jam lamanya masih eksklusif pada medium fizikal sahaja di Malaysia.

Koleksi CD muzik asli lebih mudah dilupuskan kerana entah kenapa selepas 9 tahun disusun di rak, hampir kesemuanya rosak. Ada yang lapisan aluminiumnya tertanggal seperti kulit ular. Bila cuba dimainkan audio tersekat-sekat seperti lagu RAP melayu 90an cuma yang dimainkan ialah CD Pearl Jam yang semuanya tahu bukan kumpulan RAP.

Sedikit ironi yang berlaku ialah semasa CD rosak dicampak masuk ke dalam beg plastik, aku menstrim album yang sama menerusi Apple Music pada kualiti muzik yang lebih baik (kerana sudah remastered tidak seperti CD yang dibeli tahun 1998). Lagu distrim kerana di rumah aku sudah tak ada sistem audio dengan pemain cakera padat atau kaset. Di kereta juga pemain CD sudah rosak. Jika pemainnya sudah tak ada apa guna lain menyimpannya?

Tambah rasa tak bersalah untuk membuang CD lama ialah majoriti muzik yang ditawarkan di perkhidmatan penstriman ialah kandungannya tidak ditapis. Aku tak tahu umur insan yang membaca artikel ini sekarang tetapi pada awal dekad 90an, kaset dan CD muzik asli yang dibeli di kedai kerap kali ditapis oleh kerajaan. Aku masih ada kaset Coolio dengan kesemua lirik yang mengandungi perkataan ‘kurang manis’ dipadam.

Sesungguhnya Generasi-Z tidak menyedari betapa untungnya mereka sekarang kerana apabila lagu ditapis di radio mereka masih boleh menstrim versi asal tanpa halangan. Zaman Uncle Obe dahulu nak beli pun tak boleh kecuali anda membeli versi import yang dua kali ganda lebih mahal (terima kasih Victoria Music Center Sungei Wang Plaza) atau cetak rompak.

Buku-buku yang aku beli masih dikekalkan. Bukan atas sebab ada nostalgia tetapi kerana kalau kesemuanya dibuang sekaligus, rak buku akan bertukar menjadi rak angin, rak debu dan rak tempat kucing tidur. Buku-buku yang disusun juga membuatkan aku nampak intelek ketika menghadiri sesi telesidang.

Tanpa segan silu aku mengaku adalah antara manusia palsu yang menggunakan buku di latar belakang supaya tidak kelihatan dungu. Malahan sebenarnya kali terakhir novel dibeli dalam bentuk fizikal mungkin adalah lima tahun yang lalu. Membeli ebuku adalah penghijrahan terawal aku lakukan terima kasih kepada Google Play Books yang menjual buku pada harga lebih murah dari di MPH dan Borders. Ebuku juga boleh dibaca sebelum tidur di atas katil tanpa lampu tanpa menimbulkan kemarahan isteri yang ingin tidur di sisi.

Melihat kepada tabiat harian aku sejak lima tahun kebelakangan ini, tidak lama lagi DVD, Blu-Ray, CD PS3, CD PS4, CD PS5, CD Sega Dreamcast, dan buku-buku lain yang kini disimpan dalam kotak juga akan dilupuskan. Hanya perlu mencari masa untuk menjualnya kepada mereka yang masih mempunyai ruang di rumah.

Mungkin ada di antara anda yang merasakan tindakan aku ini kurang bijak tetapi percayalah aku dahulu di tempat yang sama dengan anda.

TUJUH TAHUN yang lalu aku pernah berkata ebuku tidak akan dapat menggantikan produk fizikal kerana bau dan tesktur buku tidak boleh digantikan pada skrin peranti.

LIMA TAHUN lalu aku katakan sekarang masa terbaik untuk membeli DVD yang mula dijual pada harga longgok di Speedy Video yang ditutup satu persatu.

TIGA TAHUN lalu aku katakan membeli permainan PS4/PC lebih berbaloi dari digital. Semuanya bertukar 180 darjah kerana Internet semakin pantas dan murah.

Hanya SEMINGGU lalu aku muat turun permainan baharu pada PlayStation 5. Permainan 60GB dapat dimainkan sekitar 10 minit selepas menekan butang muat turun. Semuanya habis dilakukan semasa aku menulis artikel pendek untuk Amanz. Seperti frasa popular bahasa Inggeris “it is a matter of when not if”.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd