Carian
Ulasan OnePlus Nord 2 – Kombinasi Menarik OnePlus + Oppo?
September 29, 2021 Fahim Zahar

OnePlus One adalah antara peranti mercu Android pertama saya, selepas sekian lama setia dengan Lumia 720 yang menjalankan Windows Phone. Apa yang membuatkan jenama ini menarik perhatian saya adalah kemampuan kustomasi, kebebasan memilih custom ROM, harga mampu milik, serta sokongan khidmat pelanggan dan komuniti yang gila gempak.

Tetapi lama kelamaan, OnePlus mula menjadi satu jenama telefon pintar yang klise. Bukan lagi pentingkan pelanggan, tetapi ingin mengejar pesaing. Sejak Carl Pei tiada, perubahan terhadap jenama ini semakin ketara dan pertama kali saya tidak mengeluarkan duit sendiri membeli sebuah peranti OnePlus.

OnePlus Nord 2 adalah peranti kelas pertengahan premium OnePlus yang terkini yang baru sahaja dijual di Malaysia. Ia adalah peranti yang akan mengelirukan pengguna pertama jenama ini dan akan membuat peminat mula berfikir dua kali. Apa yang berlaku? Adakah ini peranti terbaik? Untuk siapa peranti ini? Ini adalah ulasan saya dan saya akan menjawab persoalan ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

OnePlus Nord 2
Skrin6.43″ Fluid AMOLED 2400 x 1080 (410 ppi)
FHD+, 90Hz
PemprosesMedia Tek Dimensity 1200-AI (6nm)
Cip1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G77 MC9
RAM8/12 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP Sudut Lebar f/1.88, OIS
8MP Sudut Ultra Lebar 119.7 darjah, f/2.25
2MP Mono f/2.4
AI Photo Enhancement
AI Video Enhancement
Kamera Swafoto32 Megapixel, EIS
Bateri4500 mAh (dwi-sel)
Pengecasan berwayar 65W (Warp)
SIM/TelefoniDwi SIM nano 4G
VoLTE
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga Jualan Harga RM2427-RM2999

OnePlus Nord 2 tidak dinafikan menawarkan spesifikasi yang menarik untuk sebuah peranti kelas pertengahan premium. Ia adalah satu naik taraf yang lebih hebat daripada generasi sebelum, lebih-lebih lagi pada prestasi, kamera dan bateri. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Dimensity 1200-AI, dengan GPU Mali-G77 MC9 dan dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM serta storan dalaman mencapai 256GB. Unit ulasan yang saya terima ini adalah yang paling asas, iaitu variasi 8/128 GB.

Dengan cip dan memori ini, ia mempunyai prestasi yang hampir dua kali ganda lebih hebat daripada OnePlus Nord pertama. Walaupun hanya 8GB RAM, sepanjang penggunaan tiada masalah lengah masa atau sistem tergendala walaupun banyak aplikasi berjalan di latar yang saya kuncikan. Bermain permua juga cukup menarik dan mempunyai pengalaman yang memuaskan. Permua yang saya uji adalah Asphalt 9 pada tetapan maksima, Battlefield Mobile versi Alpha pada tetapan tinggi dan permua seperti Beatstar.

Dimensity 1200-AI ini bukanlah cip yang berbeza dengan Dimensity 1200 lain, 100% sama sahaja. Mungkin kerana OnePlus memanfaatkan lebih pada kuasa kecerdasan buatan yang cip ini boleh kendalikan. Cip ini sudah ternyata cukup hebat dan bersaing sengit dengan Snapdragon 870. 8GB RAM ada hadnya, saya yakin variasi 12GB RAM akan mempunyai prestasi yang lebih baik.

Paparan pula adalah FHD+ dengan sokongan kadar segar semula 90Hz daripada panel Fluid AMOLED yang bersaiz 6.43-inci. Sayang sekali tiada sokongan HDR10+ mahupun HDR10 pada Netflix dan hanya ada HDR pada YouTube sahaja. Walaupun begitu, skrin peranti ini masih cukup cantik pada kelasnya. Tidaklah sehebat Xiaomi 11T Pro, cuma tanpa sokongan HDR pada Netflix agak mengecewakan.

Penggunaan 90Hz juga konsisten, cuma bila sudah terbiasa dengan 120Hz, 90Hz memang akan rasa sedikit perlahan – tetapi tidak seteruk 60Hz. Kebanyakan peranti dengan cip ini juga sudah sedia dengan sokongan kadar segar semula tinggi.

OnePlus menggunakan konfigurasi tri-kamera pada peranti ini yang merangkumi sensor 50MP sudut lebar f/1.88, OIS + 8MP sudut ultra lebar 119.7 darjah, f/2.25 + 2MP sensor mono f/2.4. Melalui kamera ini, OnePlus turut menyertakan sokongan AI Photo Enhancement dan AI Video Enhancement. Kamera swafoto pula adalah 32MP melalui lubang skrin. Kamera pula disusun pada bonggol yang mirip beberapa peranti Oppo Reno serta OnePlus 9 dan tidak begitu tebal.

Binaan peranti adalah dengan kerangka plastik di sekeliling dan rangka aluminium di dalam. Dilindungi pula dengan kaca Gorilla Glass 5 di hadapan dan pada panel belakang. Di hadpan, peranti kelihatan sebuah peranti “murah” kerana ada dagu tebal sedangkan Xiaomi yang benar-benar dijual pada harga mampu milik mampu menawarkan rekaan yang lebih nampak mahal. Atas bezel hadapan ada kekisi earpiece, atas peranti ada lubang mikrofon, di bawah pula ada kekisi pembesar suara, lubang mikrofon satu lagi, port USB-C dan juga slot kad SIM.

Sisi kanan peranti ada butang kuasa dan butang notifikasi tiga tahap ikonik OnePlus. Akhir sekali di sisi kiri adalah butang kawalan aras suara. Peranti ini mempunyai kemasan yang gila licin, tetapi rekaan yang meklengkung di belakang mampu memberikan sedikit cengkaman.

Penggunaan Dan Perisian

Peranti yang cukup popular dengan Oxygen OS yang dulunya menawarkan kemaskini pantas dan pengalaman penggunaan seakan Android asli kini sudah berubah. Kita tahu yang OnePlus sudah bergabung dengan Oppo secara rasmi dan sistem operasi kedua-dua peranti ini akan bergabung. OnePlus Nord 2 akan memberikan pengalaman penggunaan seakan menggunakan Oppo Reno 6 Pro, tetapi sedikit cacat kerana seakan Color OS yang tidak lengkap dengan tema Oxygen OS.

Apabila dua sistem operasi ini mirip, banyak fungsi dan ciri dikongsi, Color OS yang lebih banyak ciri dan fungsi akan terasa lebih menarik untuk digunakan. Berbanding Oxygen OS yang mempunyai kurang elemen kustomasi yang Oppo tawarkan. Oxygen OS 11.3 pada peranti ini masih berusaha untuk cuba tawarkan pengalaman yang lebih kurang sama, namun tidak berjaya kerana ia tidak lagi ada keistimewaan tersendiri.

Aplikasi kamera, bahagian tetapan, rekaan dan banyak elemen di dalam sistem operasi pada peranti ini adalah menyerupai Realme UI dan Color OS. Saya yang sudah biasa menggunakan Color OS dan mengenali Realme UI, rasa sangat aneh menggunakan peranti OnePlus yang ada perisian Oppo.

Pengalaman penggunaan keseluruhan pada peranti ini akan terasa baik sahaja. 90Hz konsisten, tiada masalah lengah masa yang serius, pelancar Oxygen yang masih ada sedikit elemen asli mereka serta penggunaan Alert Slider dengan paparan animasi yang kemas – masih ada OnePlus di dalamnya.

Tetapi pada tetapan sistem Convenience tools, tetapan Battery, App Management, aplikasi kamera, aplikasi pemindahan data yang mirip Oppo sukar untuk saya terima apabila Oxygen OS 10 dan ke bawah adalah kegemaran saya. Tetapi apa boleh buat?

Perkara paling menjengkelkan adalah Oxygen OS mula terasa sedikit berat, kerana selesai sahaja peranti dihidupkan – ia mengambil masa yang sedikit lebih lama daripada biasa untuk memuat. Aplikasi akan lambat boleh dibuka, ikon menghilang dan perlu tunggu sekitar 5-6 saat untuk memuat adalah perkara yang tidak dialami pada peranti Oppo.

Penanda Aras

Model 8/128 GB OnePlus Nord 2 ini mempunyai skor AnTuTu 565,208. Manakala pada Geekbench 5 pula ia mempunyai skor 821/2873 untuk satu teras dan multi-teras. Ini merupakan skor yang standard untuk MediaTek Dimensity 1200 dengan memori 8GB. Kerana jika ada 12GB dan sokongan RAM maya ia boleh mencapai sehingga 650-700 ribu.

Walaupun begitu, skor ini tidak menjejaskan penggunaan saya sejak menggunakan peranti sekitar dua minggu. Selain masalah Oxygen OS yang mirip Color OS, penggunaan di masa nyata adalah lancar dan memuaskan.

Kamera

Konfigurasi tr-kamera utama yang merangkumi sensor sudut lebart Sony IMX766 50MP, OIS + sensor sudut ultra lebar 8MP, EIS dengan sudut pandangan 119.7 darjah + sensor mono 2MP adalah konfigurasi yang baik dan boleh dikatakan setiap sensor ini digunakan dengan baik. Sokongan zum adalah sehingga 10x digital, menyokong pelbagai mod auto-fokus, kemampuan rakaman video 4K 30fps dan AI Photo/Video Enhancement adalah memadai untuk peranti dalam kelas ini.

Kamera swafoto pula adalah sensor Sony IMX615 32MP, EIS yang menyokong rakaman 1080p 30fps. Aplikasi kamera OnePlus Nord 2 ini adalah seakan aplikasi kamera pada peranti Oppo dan Realme. Ia ada mod kecantikan yang lebih mendalam kawalannya dan juga ada mod AI.

Kualiti kamera swafoto adalah cukup berkualiti tinggi dan beresolusi tinggi. Cuma warnanya sedikit pudar daripada apa yang saya harapkan. Tetapi mod potret adalah cukup kemas dan memuaskan. Mod kecantikan haruslah saya uji, kerana pertama kali saya temui mod ini pada peranti OnePlus sejak kali terakhir saya menggunakan OnePlus 8T yang masih tiada mod ini. Mod kecantikannya agak aneh, tetapi ia ada jika itu yang anda inginkan. Serta mod kecantikan ini juga yang menjadikan beberapa situasi gambar mempunyai warna yang lebih menarik.

Sensor utama kamera peranti ini juga mampu menangkap hasil gambar yang memuaskan. Fokus yang pantas, pasca proses yang selesai sekelip mata, mempunyai hasil warna yang cukup dalam, kontras yang bagus serta keseimbangan warna putih yang baik membuatkan peranti ini mempunyai kamera utama yang menghampiri sebuah peranti mercu.

Hasil sudut ultra lebar juga cukup baik. Ia kurang herotan dan menawarkan kualiti yang memuaskan. Pada zum, ia mula kelihatan sedikit aneh dan tidak berkualiti kerana ketiadaan sensor telefoto.

Mod malam pada peranti ini juga adalah baik sekali. Disebabkan OIS,ia mampu membantu menghasilkan kualiti yang baik dan jelas tanpa ada masalah fokus, masalah memproses atau cahaya yang tidak sekata. Ya, ia sedikit lembut – tetapi ia lebih baik daripada 11T Pro dan adalah sedikit lebih bagus daripada 11T.

Video pula OnePlus masih menjadi OnePlus. Cuba menggunakan OIS dan EIS untuk menstabilkan hasil. Tetapi kualiti mikrofon dan warna masih tidak memuaskan pada hemat saya. Untuk sebuah peranti dalam kelas ini, saya yakin OnePlus boleh tawarkan kualiti yang lebih baik.

Audio

Walaupun OnePlus sudah ada banyak persamaan dengan Oppo, mereka masih cuba untuk menawarkan sesuatu yang tersendiri untuk nampakkan diri mereka sedikit berlainan. Pada audio misalnya, pembesar suara stereo ditala oleh Dirac Audio Tuner. Berbeza dengan pesaing yang menggunakan jenama audio lebih popular seperti Dolby atau Harmon/Kardon.

Walaupun begitu, kualiti pembesar suara peranti ini masih lagi cukup baik. Mendengar muzik cukup enak, cuma pada bahagian highs ia sedikit bingit dan suara penyanyi wanita akan kedengaran sedikit flat berbanding suara lelaki yang mempunyai butiran lebih baik. Audio yang seimbang juga cukup memuaskan untuk menstrim video, cuma menggunakan aras suara 100% peranti akan rasa sedikit bergegar kerana sedikit lebih kuat membuatkan saya rasa risau.

Telefoni Dan GPS

Penggunaan data mudah alih pada peranti ini juga boleh diterima. 4G+ dan VoLTE kerap kelihatan, cuma ia sedikit lambat untuk terima rangkaian jika saya hidupkan mod pesawat dan matikan – sambungan Internet mengambil sedikit masa. Panggilan telefon juga tiada masalah untuk sesi panggilan yang lama. Masalah kelihatan apabila menggunakan loud speaker sahaja. GPS juga cukup pantas mengunci lokasi dan sepanjang penggunaan saya tidak ada menerima sebarang masalah dengannya.

Bateri

Bateri pada peranti OnePlus yang premium jarang mengecewakan. Walaupun tidak sehebat di zaman keagungan jenama ini baru menjadi popular, tetapi untuk standard sekarang ia boleh diterima. Penggunaan ringan tidak menjadi masalah jika 90Hz sentiasa aktif untuk menerima SOT sehingga lebih 7 jam. Malah jika dikawal lagi cara penggunaan 8 jam SOT pun tiada masalah.

Penggunaan yang lebih berat akan memperlihatkan ketahanan mencapai lebih 5 jam dengan permua, kamera, ujian tanda aras serta penggunaan hotspot. OnePlus Nord 2 juga hadir dengan sokongan pengecasan pantas 65W daripada teknologi Warp Charge yang boleh mengecas 0%-100% sekitar 40 minit sahaja. Dakwaan mereka caj 15 minit tahan sehari itu dapat saya sahkan.

Pesaing

OnePlus Nord 2Xiaomi 11TVivo X70
6.43″ Fluid AMOLED 1080 x 2400
(410 ppi), FHD+, 90Hz
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400
90Hz (~395 ppi), HDR10+
6.81″ AMOLED, 1440 x 3200
(~515 ppi), HDR10+, 120Hz
Dimensity 1200-AI (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 1200-Ultra (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 1200-vivo (6nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Mali-G77 MC9 Mali-G77 MC9 Adreno 660
8/12 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X
3 GB RAM Maya
8 GB LPDDR5
4 GB RAM Maya
128/256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1128 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+8+2 Megapixel
f/1.88+f/2.25+f/2.4, OIS
Kamera Utama
108+8+5 Megapixel
f/1.75+f/2.2+f/2.4, EIS
Kamera Utama
40+12+12 Megapixel
f/1.89+f/2.2+f/1.98, OIS
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio Stereo, DiracAudio Stereo, Dolby AtmosAudio Mono
4500mAh
(Berwayar 65W)
5000mAh
(Berwayar 67W)
4400 mAh
(Berwayar 44W)
Harga RM2427-RM2999Harga RM1699/RM1899Harga RM2499

Kesimpulan

Apa yang berlaku pada peranti OnePlus Nord 2 ini adalah permulaan di mana Oxygen OS dan Color OS mula bergabung. Satu tambah Oppo mungkin benar satu langkah bijak OnePlus untuk menjadikan kemaskini lebih pantas. Sekarang sejak mereka bergabung dengan Oppo, kemaskini adalah semakin perlahan tidak seperti dulu. Dengan banyak menggunakan elemen Color OS yang sudah matang lama dan lebih stabil, ia mungkin boleh menjadi peranti terbaik yang OnePlus boleh tawarkan.

Sayang sekali, peminat setia OnePlus mungkin akan rasa kecewa kerana banyak elemen Android asli itu sudah tidak kelihatan. Elemen rekaan minimalis Oxygen OS itu masih ada, tetapi tidak banyak. Peranti ini mungkin sesuai untuk pengguna yang baru ingin mengenali OnePlus.

Skrin yang baik, prestasi yang tiada masalah, kamera yang boleh diterima serta bateri yang cukup tahan. OnePlus Nord 2 adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium yang cukup baik. Harga jualan melebihi RM2000 untuk model asas adalah sedikit mahal, apabila Xiaomi boleh tawarkan spesifikasi jauh lebih mantap pada harga lebih mampu milik. Tetapi jika anda tidak inginkan masalah perisian MIUI, peranti Oxygen OS ala Color OS ini mungkin untuk anda.


Pro

  • Skrin yang cantik dan 90Hz yang konsisten
  • Prestasi yang baik dan memuaskan untuk kelas peranti ini
  • Kualiti audio yang enak dan seimbang
  • Kemampuan kamera yang lebih baik kerana OIS

Kontra

  • Sistem operasi terasa sangat seperti Color OS dan tiada keunikan
  • Skrin tiada HDR10 untuk platform penstriman membawakan warna yang tidak cukup hidup
  • Harga yang agak mahal
Komen