Rekaan Serta Spesifikasi Oppo A55 Diperlihatkan – Sokong Kamera 50MP

Diterbitkan pada Sep 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo sebelum ini dilaporkan bakal mengemaskini rangkaian peranti di bawah siri A untuk pasaran India tidak lama lagi. Melaluinya, Oppo A55 akan diperkenalkan dan informasi mengenainya telah mula kedengaran sejak beberapa minggu lalu. Ia juga dikatakan besar kemungkinan hadir dengan sokongan 4G sahaja.

Dalam perkembangan terkini, beberapa info utama pada peranti telah disahkan menerusi perkongsian di laman web Amazon India. Ia menunjukkan peranti akan mempunyai panel hadapan sebesar 6.51-inci bersama rekaan skrin berlubang yang ditempatkan pada sudut kiri atas. Seterusnya, panel hadapan ini juga disertakan dengan binaan bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas. Tetapi, bahagian bawahnya jelas memperlihatkan kewujudan dagu yang agak tebal.

Ia juga dikatakan akan meneruskan tradisi Oppo yang memfokuskan terhadap binaan peranti yang nipis dan mampu milik. Seterusnya, sebuah pengimbas cap jari sisi diletakkan pada sisi kanan yang juga berfungsi sebagai butang kuasa. Sebagai alternatif, peranti turut menyokong fungsi imbasan wajah bersama-sama dengannya.

Bercakap mengenai fotografi, ia akan mempunyai sokongan tri-kamera utama dengan tetapan 50MP (utama) + 2MP (bokeh) + 2MP (makro). Ia turut diserlahkan lagi dengan sejumlah fungsi fotografi terbina menarik dan salah satunya adalah Night Plus yang disertakan tiga penuras berbeza untuk hasil gambar lebih mengujakan. Kemudian, kamera hadapan pula sebesar 16MP.

Oppo A55 akan tersedia dalam dua pilihan warna seperti Starru Black dan Rainbow Blue. Pada masa sama, ia turut mempunyai perlindungan percikan air IPX4. Buat masa ini, kapasiti bateri dan memori masih menjadi rahsia. Seperti biasa, segalanya bakal terjawab sepenuhnya ketika acara pelancaran rasminya pada 1 Oktober ini.

Sumber : Amazon, Gizmochina

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami