Cari @ Amanz

Google Lens adalah aplikasi yang membantu pengguna untuk mendapatkan pelbagai perincian maklumat dengan hasil carian gambar. Ia juga boleh diklasifikasikan sebagai aplikasi yang fleksibel fungsinya dan mudah untuk digunakan.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Google kini telah mengumumkan teknologi baharu dinamakan sebagai Multitask Unified Model (MUM) sebagai peningkatan besar untuk aplikasi berkenaan. Ia merupakan algoritma AI yang yang direka khusus bagi menjadikan pengalaman carian dalam talian kini lebih mudah dan terperinci.

Salah satu manfaat MUM adalah ia dapat memahami maklumat dalam pelbagai format seperti teks, gambar dan video. Melaluinya, ia kini membolehkan pengguna mengambil foto, kemudiannya mengajukan sebarang pertanyaan tentang apa yang dilihat dan dimahukan.

Contoh situasi, anda mengambil foto bahagian basikal yang rosak dan bertanya bagaimana untuk membaikinya. Di sini, MUM akan memberikan hasil carian yang sepatutnya bagi membantu anda mendapatkan maklumat yang betul. Dengan itu, anda tidak perlu lagi melakukan carian secara manual.

Contoh seterusnya, anda melihat corak tertentu yang disukai pada sesuatu barangan misalnya baju. Tetapi, anda mahukan corak berkenaan pada barangan yang lain seperti stokin. Di sini, MUM akan mencari dan memberikan hasil carian barangan yang dimahukan sepadan dengan corak yang hampir sama.

Manfaat MUM yang seterusnya adalah ia boleh mengenal pasti topik yang berkaitan dalam sesebuah video. Kemudiannya mencadangkan beberapa hasil carian yang sepadan sebagai pengetahuan lebih mendalam sebagai pemahaman terhadap sesuatu topik.

Pada masa sama, Google juga menggunakan MUM bagi membantu pengguna menerokai pelbagai kemungkinan idea dan informasi dengan lebih meluas. Seterusnya, ia turut mencadangkan topik yang relevan sebagai pemahaman lebih spesifik dan mendalam. Bukan itu sahaja, ia juga akan membolehkan pengguna meneroka topik dan hasil yang berkaitan dalam bentuk gambar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd