Sekolah sudah mula dibuka tetapi penggunaan peranti pintar untuk pembelajaran akan kekal dengan penggubalan Pelan Pendidikan Digital di bawah Rancagan Malaysia ke-12. Setelah dua tahun menjalani pembelajaran secara PdPR, adalah merugikan untuk tidak mengambil inisiatif menyertakan elemen digital menerusi peranti pintar sekarang.
Ini membawa kepada persoalan apakah tablet yang boleh dibeli sekarang oleh ibu, bapa dan penjaga. Tahun ini Samsung Galaxy Tab A7 Lite sebagai tablet mampu bagi tujuan penggunaan ringan oleh anak-anak yang memerlukan peranti pintar pertama mereka. Adakah Tab A7 Lite mampu memenuhi keperluan ini? Inilah yang cuba dijawab menerusi ulasan ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Samsung Galaxy Tab A7 Lite | |
---|---|
Skrin | 8.7″ TFT WQGA+, 60Hz |
Pemproses | MediaTek Helio P22T (12 nm) |
Cip | 4 x 2.3 GHz Cortex-A53 4 x 1.8 GHz Cortex-A53 |
Cip Grafik | PowerVR GE8320 |
RAM | 4GB |
Muatan Dalaman | 64 GB (Mikro SD sehingga 512GB) |
Kamera Utama | 8 Megapixel |
Kamera Swafoto | 2 Megapixel |
Bateri | 5100 mAh Pengecasan berwayar 15W |
SIM/Telefoni | Ya/4G |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Wajah |
Harga Jualan | RM 699 |
Skrin
Skrin 8.7″ yang digunakan adalah dari keluarga TFT dan sekadar menyokong resolusi 800 x 1340 pixel sahaja. Tiada sokongan stylus diberikan dan tiada juga sokongan HDR. Skrin yang digunakan adalah paling asas untuk sebuah tablet. Penghasilan semula warna adalah kurang memuaskan tetapi kami merasakan ia bukanlah dosa besar bagi peranti kelas permulaan. Untuk tujuan pembelajaran ciri tambahan seperti kadar segar semula tinggi, sokongan S Pen dan HDR adalah bonus yang tidak diperlukan.
Rekaan peranti juga masih klasik dengan bezel yang agak besar jika dibandingkan dengan Xiaomi Pad 5, Tab S7 FE atau iPad Mini 2021. Sekali lagi ini bukanlah isu besar kerana ia menyasarkan penggunaan di kalangan kanak-kanak. Lebih besar bezel lebih mudah bagi mereka memegang tablet.
Saiz skrin 8.7″ mungkin boleh dikatakan kecil bagi sebuah tablet untuk orang dewasa tetap bagi seorang kanak-kanak ia mungkin sama seperti menggunakan tablet 12″. Jadi nisbah saiz skrin kepada tubuh pengguna adalah cukup baik sebenarnya.
Rekaan
Skrin “klasik” dipadankan juga dengan “rekaan klasik” tablet yang mirip pada Tab A7 sebelum ini. Panel belakang logam memastikan ia tahan lasak, tidak mengumpul kotoran dengan mudah seperti kaca dan sejuk untuk dipegang sekaligus menyebarkan haba dari pemproses dengan lebih baik. Butang laras audio dan kuasa dietakkan pada sisi kanan yang diperbuat daripada plastik. Sungguhpun begitu binaannya masih tegap dan tidak terasa murah.
Masih terdapat bicu audio 3.5mm pada bahagian bawah dengan port pengecasan USB-C. Peranti juga dilengkapi pembesar suara stereo dengan kekisi pada bahagian atas dan bawah. Sebuah talam SIM nano dan kad mikro SD turut disertakan bagi mereka yang memerlukan sabungan selular. Keseluruhan tubuh tablet adalah tegap dan sedap di dalam tangan ketika digunakan.
Penggunaan Dan Perisian
Tablet menggunakan Android 11 dengan pelancar One UI 3.1. Ini membawakan ciri seperti mod malam, Side Panel, Multi Window, Samsung Notes dan Nearby Share. Walaupun mempunyai skrin yang lebih besar berbanding Z Fold3, Multi Window dihadkan kepada dua aplikasi sahaja secara serentak. Bagi yang inginkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak, ciri Pop Up boleh digunakan dengan aplikasi dipaparkan dalam tingkap kecil yang terapung pada skrin.
Tab A7 Lite tiada masalah menjalankan aplikasi-aplikasi popular seperti Zoom, Google Classroom, Google Meet, Chrome, Google Drive dan pelbagai lagi yang diperlukan untuk tujuan telesidang. Prestasi adalah sederhana sahaja kerana penggunaan cip pemproses MediaTek Helio P22 yang dipadankan dengan 4GB RAM sahaja. Kerana saiz RAM yang kecil untuk tahun 2021, penggunaan sehingga lebih daripada enam aplikasi serentak tidak kami sarankan kepada pengguna.
Hakikatnya ini ialah tablet kelas permulaan yang tidak mempunyai kuasa kuda yang mencukupi untuk melancarkan dan menjalankan lebih banyak aplikasi serentak. Malahan untuk permua juga ia kami rasakan lebih baik dihadkan kepada yang tidak memerlukan kuasa grafik yang tinggi dan tidak 3D. Dengan kata lain tidak begitu disarankan untuk Genshin Impact, COD Mobile, Asphalt 9 dan PUBG Mobile. Ini ialah berita baik dan buruk pada waktu yang sama bergantung kepada siapa yang menggunakannya.
Sebagai seorang bapa, Tab A7 Lite akan memastikan aplikasi kerja sekolah boleh dilakukan dengan lancar dan menghalang anak dari menghabiskan masa (dan bateri) memainkan permua yang melalaikan. Jangan ketawa tetapi ada ibu bapa yang memang mencari tablet yang cukup-cukup makan sahaja bagi tujuan ini. Jika ini yang anda cari Tab A7 Lite ialah tablet yang memenuhi kesemua keperluan yang kami katakan tadi.
Bagi mereka yang memerlukan ciri tambahan seperti sokongan stylus S Pen dan Samsung DeX, Galaxy Tab A7 Lite tidak ditawarkan pada waktu ini. Tetapi bagi yang memerlukan papan kekunci pula, terdapat beberapa model dengan tambatan bluetooth ditawarkan oleh Samsung dan pihak ketiga.
Penanda Aras
Markah penanda aras untuk GeekBench 5 yang dicatatkan oleh Helio P22 ialah 174 untuk satu teras dan 868 untuk multi teras. Ini meletakkannya setara dengan Snapdrgon 650 yang sudah berusia lebih lima tahun. Jadi dari sini anda boleh mengagak apakah prestasi yang boleh dijangka dari Tab A7 Lite. Dalam ujian Antutu 3D pula ia sekadar mencatatkan 103,565 markah ataupun sekitar 1/6 markah yang dicatatkan oleh Snapdragon 888.
Kamera
Kemampuan kamera 8MP di bahagian belakang dan 2MP di hadapan adalah sederhana sahaja. Tiada kemampuan zum sehingga ke bulan, mod bokeh yang mantap atau rakaman video sehingga 8K. Ia hanyalah kamera asas untuk sebuah peranti untuk kegunaan di dalam kelas.
Untuk merakam kerja rumah atau telesidang ia adalah memadai. Seperti pada Xiaomi Pad 5 yang diulas sebelum ini, tablet memang tidak terkenal dengan kemampuan fotografinya. Maka oleh sebab itu kami tidak terlalu kritikal jika prestasi kamera tidak setanding dengan sebuah telefon pintar.
Komen yang boleh diberikan ialah jika terdapat pencahayaan yang baik gambar yang terhasil memuaskan. Tetapi jika asa sumber cahaya terang seperti langit, kawasan lain menjadi gelap gelita kerana sistem HDR yang disertakan tidak begitu baik. Hingar juga dapat dilihat pada kawasan-kawasan gelap. Warna juga tidak begitu menyerlah dengan gambar lebih kebiruan dari situasi sebenar. Akhir sekali kualiti swafoto adalah cukup makan sahaja dengan imej kurang tajam. Tidak ada apa yang dapat dilakukan di sini kerana kamera hadapan hanyalah 2MP.
Audio
Audio menerusi dua speaker adalah memuaskan dengan sokongan Dolby Atmos. Pemisahan audio adalah baik kerana jarak antara speaker yang berjauhan antara satu sama lain. Dengan adanya bicu audio, tiada isu hanya aksesori nirwayar sahaja yang boleh digunakan.
Bateri
Dengan bateri 5100 mAh peranti boleh beroperasi sepanjang hari dengan SOT pula mencecah 10 jam. Hayat yang cukup baik untuk sebuah tablet bersaiz kecil. Bateri mengambil masa 2 jam untuk dicaj kembali sepenuhnya menggunakan pengecas 15W yang disertakan dalam kotak. Dengan hayat bateri ini, ia tiada masalah untuk digunakan sebagai tablet pembelajaran atas talian atau untuk menonton kandungan video sepanjang hari.
Pesaing
Samsung Galaxy Tab A7 Lite | Samsung Galaxy Tab A7 LTE | Huawei MatePad T10 |
8.7″ TFT, 800 x 1340, 60Hz (179 ppi) | 10.4″ TFT, 1200 x 2000, 60Hz (224 ppi) | 9.7″ IPS LCD, 800 x 1280, 60Hz (156 ppi) |
Helio P22T (12nm) 4 X 2.3 GHz Cortex-A53 4 X 1.8 GHz Cortex-A53 | Snapdragon 662 (11nm) 4 X 2.0 GHz Kryo 260 Gold 4 X 1.8 GHz Kryo 260 Silver | Kirin 710A (10nm) 4 X 2.0 GHz Cortex-A73 4 X 1.7 GHz Cortex-A53 |
PowerVR GE8320 | Adreno 610 | ARM Mali-G51 MP4 |
4 GB | 3 GB | 2 GB |
64 GB Mikro SD sehingga 512GB | 32 GB Mikro SD sehingga 1TB | 32 GB Mikro SD sehingga 512GB |
Kamera Utama 8-Megapixel | Kamera Utama 8 Megapixel | Kamera Utama 5-Megapixel |
Kamera Hadapan 2-Megapixel | Kamera Hadapan 5-Megapixel | Kamera Hadapan 2-Megapixel |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu Audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5100 mAh (Berwayar 15W) | 7040 mAh (Berwayar 15W) | 5100 mAh (Berwayar 5W) |
Harga RM699 | Harga bermula RM899 | Harga RM599 |
Kesimpulan
Samsung Galaxy Tab A7 Lite tidak akan memenangi anugerah tablet terbaik 2021 kerana spesifikasi kelas permulaannya yang tidak begitu berkuasa. Tetapi ia mencukupi jika tablet untuk menghadiri kelas atas talian yang masih diteruskan di sekolah di Malaysia sehingga penghujung tahun ini. Ia memenuhi keperluan minimum yang diinginkan oleh ibu bapa penjaga yang tidak mahu berbelanja lebih untuk sebuah tablet.
Untuk hiburan pula ia boleh menjalan aplikasi YouTube Kids dan pelbagai permua 2D tanpa masalah. Hanya bila permua 3D ingin digunakan, cip pemproses Helio P22T yang digunakan mula menghadapi masalah. Tetapi seperti yang kami katakan di awal ulasan ini, ia mungkin diperlukan bagi ibu bapa yang tidak inginkan anak memasang permua seperti Minecraft atau PUBG Mobile yang melalaikan.
Prestasi bateri juga baik sehingga boleh bertahan untuk sesi kelas seharian. Kami hanya mengharapkan pengecas lebih pantas daripada 15W disokong kerana proses pengecasan semula mengambil masa sekitar dua jam.Di Malaysia Samsung Galaxy Tab A7 Lite ditawarkan pada harga RM699 sebuah.
Pro
- Saiz yang sesuai untuk pengguna kanak-kanak.
- Skrin yang terang dan jelas untuk kelas atas talian.
- Speaker stereo yang lantang.
- Prestasi mencukupi untuk keperluan pembelajaran semasa.
- Harga mampu milik.
Kontra
- Hanya 4GB RAM yang agak kecil untuk melancarkan lebih daripada 6 aplikasi serentak.
- Pemproses tidak berkuasa untuk permua 3D moden.
- Pretasi kamera kurang memberangsangkan.