Cari @ Amanz

Jika anda mempunyai simpanan wang yang banyak, dan mahukan sebuah komputer riba yang tiada tolok bandingan, Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk komputer riba gaming paling berkuasa dan mahal mereka, iaitu Predator Helios 500 yang dikemaskini dengan komponen-komponen baru keluaran Intel dan juga NVIDIA.

Acer Malaysia mengesahkan bahawa Predator Helios 500 ini akan hadir dengan dua konfigurasi yang berbeza. Pertama ialah model yang paling berkuasa mereka, dilengkapi dengan paparan Mini LED bersaiz 17.3 inci dan juga resolusi 4K yang menjanjikan warna yang bukan sahaja menarik, tetapi juga jitu dari segi olahannya.

Model Presdator Helios 500 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i9 generasi ke-11, memori DDR4 sebanyak 64GB dan dua storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB. Untuk kad grafik pula, ia diberikan model paling berkuasa untuk menggerakkan paparan 4K tersebut, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3080.

Model kedua pula hadir dengan CPU Intel Core i7 generasi ke-11, pilihan memori DDR4 dan storan SSD NVMe 1TB dan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070.

Satu lagi kelebihan pada komputer riba ini ialah penggunaan kekunci optikal mekanikal di bahagian WASD yang membolehkan komputer riba ini mengesan tekanan kekunci untuk membolehkan pengguna mengubahsua corak pergerakan apabila menggunakan papan kekunci ini.

Menyejukkan komponen-komponen didalam komputer riba ini ialah gabungan sistem kipas AeroBlade 3D generasi kelima dan Predator PowerGem untuk menyejukkan komponen-komponen didalam komputer riba ini. Seperti komputer riba Predator lain yang diperkenalkan, ia juga dilengkapi dengan fungsi-fungsi lain seperti Thunderbolt 4, WiFi6, pengecasan Power Delivery menggunakan satu kabel USB-C yang memudahkan pengecasan komputer riba menggunakan satu kabel sahaja.

Dalam pada itu, anda juga boleh melewahjam komponen CPU dan kad grafik Predator Helios 500 ini melalui perisian PredatorSense, dan mereka juga turut memperkenalkan sistem pencahayaan RGB baru di sekeliling komputer riba ini yang dinamakan Predator Pulsar Lighting. Salah satu fungsi istimewanya ialah Screen Sync Mode dan Audio Sync Mode yang akan menyelarikan cara dan warna lampu RGB ini bergantung kepada lagu dan juga adegan filem dan permainan komputer yang sedang anda mainkan.

Sama seperti Predator Triton 500 SE, pra-tempah untuk komputer riba ini dibuka pada 30 Oktober 2021 kelak, dan akan dijual untuk harga-harga berikut:

  • Predator Helios 500 (Intel Core i9, NVIDIA GeForce RTX 3080) – RM19,999
  • Predator Helios 500 (Intel Core i7, NVIDIA GeForce RTX 3070) – RM13,999
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd