Cari @ Amanz

JIka wabak COVID-19, kekurangan komponen semikonduktor dan sebagainya tidak mencukupi untuk mengacau bekalan perkakasan komputer dengan teruk, terdapat berita buruk lagi mengenai komponen-komponen ini, khususnya kerana bekalan bahan laminat tembaga (copper-clad laminate) yang tidak mencukupi.

Bagi mereka yang mungkin tidak tahu, tembaga, khususnya bahan laminat tembaga ini digunakan sebagai asas untuk pembangunan sebuah papan litar, dan dalam konteks ini, ia adalah untuk papan induk dan juga kad grafik sebuah komputer.

Ia dilaporkan bahawa harga tembaga telah meningkat sebanyak 35 peratus sejak penghujung tahun 2020, dan ini disamping pelbagai isu lain yang telah kami laporkan sebelum ini menyebabkan bukan sahaja jumlah kad grafik sukar untuk dibangunkan secara besar-besaran, tetapi juga peningkatan harga kad grafik yang dilihat berlaku di seluruh dunia.

Penerangan ringkas mengenai perkara ini ialah khusus untuk papan litar papan induk dan kad grafik, kedua-dua komponen komputer ini menggunakan lapisan bahan laminat tembaga yang lebih banyak berbanding dengan papan litar untuk kelengkapan elektronik yang lain.

Walaupun peningkatan harga setiap lapisan laminat tembaga ialah meningkat sebanyak 10 peratus untuk sekeping, oleh kerana setiap papan induk dan kad grafik menggunakan beberapa lapis bahan ini, harganya akan dilihat meningkat secara mendadak, ditambah lagi dengan peningkatan harga komponen-komponen yang lain seperti semikonduktor dan aluminum juga.

Harga bahan tembaga sahaja dilihat kini berada pada tahap sama seperti pada era 2010, tetapi dalam aspek teknologi, tembaga juga digunakan dalam pelbagai kegunaan yang lain seperti pembangunan teknologi janakuasa lestari, menara telekomunikasi baru dan sebagainya yang mana keperluannya meningkat dengan lebih banyak di seluruh dunia.

Jika anda bercadang untuk membeli sebuah komputer baru, kami cadangkan anda cuba untuk mendapatkannya secepat mungkin sebelum harga-harga komponen meningkat dengan lebih tinggi lagi.

Sumber: Tom’s Hardware

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd