Spotify sejak kebelakangan ini mula memberi fokus penuh terhadap podsiar. Mereka telah mengambil-alih Anchor, Podz, menawarkan lebih banyak ciri dan fungsi podsiar untuk pendengar dan pencipta kandungan serta turut mempunyai pelan langganan khusus untuknya.
Terkini, untuk menarik perhatian lebih ramai pengguna menggunakan platform mereka untuk mendengar podsiar – Spotify telah memperkenalkan kemampuan menambah sesi undian dan juga soal jawab pada bahagian podsiar mereka.
Pencipta kandungan boleh menambahnya pada kandungan mereka, dan pendengar boleh berinteraksi dengannya. Sesi undian yang masih berjalan dapat dilihat oleh semua pendengar, manakala sesi soal jawab pula hanya pencipta kandungan sahaja boleh melihat maklum balas. Pencipta kandungan turut boleh menyemat maklum balas jika mereka mahukan.
Ciri ini sudah ditawarkan pada semua pengguna di 160 negara yang Spotify tawarkan perkhidmatan penstriman podsiar mereka. Namun ia mungkin adalah secara berperingkat, kerana walaupun kami membuka podsiar yang sama pada imej yang Spotify kongsi dan menggunakan aplikasi beta terkini – ia masih belum kelihatan lagi.