Realme TechLife Air Purifier, Handheld Dan Robot Vacuum Cleaner Dilancarkan Secara Rasmi

Diterbitkan pada Okt 1, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Rangkaian kelengkapan rumah pintar keluaran Realme kini diperluaskan dengan tiga lagi produk baharu yang dilancarkan di India. Melaluinya, Realme TechLife Air Purifier, Realme Robotic Vacuum Cleaner dan Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner telah diperkenalkan secara rasmi. Pengenalannya juga boleh dikatakan lebih memudahkan rutin seharian pengguna dan ia ditawarkan di India terlebih dahulu buat masa ini.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, Realme TechLife Air Purifier menggunakan rekaan yang biasa boleh ditemui pada sejumlah penapis udara di pasaran. Ia juga mempunyai nilai CADR tinggi 330m³/j yang menunjukkan output udara bersih mencapai 330-meter. Seterusnya, Realme TechLife Air Purifier turut dilengkapi sistem penapis H12 HEPA tiga tahap yang berupaya menapis kandungan udara PM 2.5 sehingga 99.95%. Ini termasuklah debu, rambut dan lain-lain.

Sebagai tambahan, terdapat juga penunjuk kualiti udara masa masa nyata bewarna, selain sokongan pemasa yang membolehkan pengguna menyahaktifkan penapis udara secara automatik. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai motor elektrik yang mampu berfungsi dengan senyap tanpa mengganggu pemilik yang sedang tidur. Ia juga diiklankan dengan ketahanan mencapai 2,800 jam lamanya.

Seterusnya, Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner. Ia merupakan vakum mudah-alih nirwayar pintar yang dilengkapi kuasa sedutan 140W pada kelajuan 10,500RPM dengan kekuatan maksimum 9.5KPa. Ia juga mempunyai penapis HEPA canggih dan ia diperbuat daripada bahan mesra alam serta boleh digunakan semula selepas dicuci.

Tidak ketinggalan, ia juga dilengkapi beberapa lagi aksesori lain untuk kegunaan pembersihan seperti berus pelbagai guna. Seperti Realme TechLife Air Purifier, ia juga boleh digunakan dengan mudah tanpa risau mengenai masalah bunyi bising. Melengkapinya juga adalah 5 lampu LED yang berfungsi sebagai penunjuk tahap bateri. Selain, bateri sebesar 2,200mAh yang diiklankan mampu berfungsi mencapai 40 minit lamanya.

Akhir sekali adalah Realme TechLife Robot Vacuum Cleaner. Ini adalah produk yang pernah dilancarkan di Eropah, tempoh hari. Ia merupakan sebuah robot hampagas yang dilengkapi sensor LiDAR dengan kemampuan berpusing 360 darjah bagi bergerak bebas tanpa sebarang halangan. Melaluinya juga, ia berupaya menyesuaikan jenis pembersihan yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran.

Pada masa sama, ia juga boleh dikostumasi untuk pembersihan lebih mendalam misalnya ruangan dapur. Seterusnya, ia juga dilengkapi bateri 5,200 mAh, ruang tempat simpanan sampah berkapasiti sehingga 600 ML dan motor dengan kadar kelajuan sedutan 3,000Pa. Sebagai tambahan, ia juga mempunyai tangki air 3000mL yang perlu dibeli secara berasingan.

Untuk harga, Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner dan Realme TechLife Handheld Vacuum Cleaner dijual pada INR7,999 (~RM451). Sementara itu, Realme TechLife Robot Vacuum Cleaner pula berharga INR24,999 (~RM1,409).

Dalam perkembangan berbeza, Realme Malaysia dilihat telah mula menyenaraikan kesemua produk ini dilaman rasminya. Bagaimanapun, yang menjadi misteri dan tanda tanya adalah tarikh khusus untuk pelancarannya. Jadi, sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami