Cari @ Amanz

Siri gaming Legion oleh Lenovo dilihat sebagai siri komputer desktop dan komputer riba gaming yang dikuasakan oleh komponen-komponen paling berkuasa di pasaran, dan kini, mereka nampaknya adalah diantara yang pertama yang akan memperkenalkan komputer desktop yang dikuasakan oleh komponen-komponen terbaru oleh Intel.

Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 Alder Lake tidak lama lagi, dan sekeping poster promosi yang tertiris ke arena internet memperlihatkan bahawa Lenovo, melalui jenama gaming Legion mereka akan hadir dengan komputer desktop baru yang dinamakan Lenovo Legion 9000K.

Melalui poster yang diperlihatkan, Lenovo menggunakan ungkapan CPU generasi ke-12, walaupun nama Intel tidak disebut. Komponen-komponen lain yang dilihat akan diperkenalkan oleh Lenovo melalui komputer ini termasuklah memori DDR5, penggunaan teknologi PCIe 5.0 dan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080Ti. Oleh kerana ini, ia dijangka bahawa papan induk yang akan digunakan pada komputer ini ialah Intel Z690 yang terbaru.

Komputer Legion 9000K ini dilihat iterasi kedua daripada model sama yang diperkenalkan pada awal tahun ini, dimana ia dikuasakan CPU Intel Core i7 generasi ke-11 dan menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060.

ITHome mengatakan bahawa komputer Legion 9000K ini akan diperkenalkan pada penghujung bulan Oktober kelak dengan beberapa konfigurasi. Oleh kerana poster ini ditulis dalam bahasa Mandarin, ia dijangka bahawa komputer ini akan ditawarkan untuk pasaran China terlebih dahulu. Ketersediaan untuk pasaran-pasaran lain tidak diketahui lagi.

Sumber: ITHome

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd