Cari @ Amanz

Jika anda sedang berfikir untuk menceburi bidang penstriman, atau masih lagi sedang membina komputer anda untuk tujuan tersebut, anda pastinya mahukan aksesori kamera web yang mengambil video wajah anda yang terbaik dan video capture card yang membolehkan anda merakam sesi penstriman tanpa sebarang cacat cela.

Razer baru-baru ini dilihat memperkenalkan kamera web Razer Kiyo X dan capture card Razer Ripsaw X, gabungan aksesori penstrim yang hadir dengan harga mampu milik yang akan meningkatkan lagi mutu penstriman anda dengan mudah.

Bermula dengan Razer Kiyo X, ia adalah model mampu milik kamera web Razer Kiyo Pro, yang mana ia hadir dengan kemampuan untuk merakam video pada resolusi 1080p dengan kadar segar semula 30FPS, ataupun pada resolusi 720p dengan kadar segar semula 60FPS.

Razer Kiyo X

Jika anda sedang merakam atau menstrim dalam bilik gelap, kamera web Kiyo Pro ini juga boleh digunakan dengan perisian Virtual Ring Light yang boleh menerangkan wajah dan persekitaran anda dengan lebih menggunakan cahaya daripada paparan skrin komputer anda.

Razer Ripsaw X pula membolehkan anda untuk merakam adegan-adegan strim anda dengan mudah, dan mampu merakam video sesi permainan anda dan juga kamera anda pada resolusi setinggi 4K dengan kadar segar semula 30FPS.

Razer Ripjaws

Untuk ini, ia menggunakan antaramuka sambungan dan teknologi penghantaran data HDMI 2.0 dan juga USB-C untuk memastikan bahawa semua rakaman yang dibuat kepada Razer Ripsaw X ini lancar dan tidak hadir dengan sebarang sela masa.

Razer mengatakan bahawa kamera web Razer Kiyo X dan capture card Razer Ripsaw X ini sudahpun memasuki pasaran tempatan pada harga RM429 dan RM629 yang boleh didapati di kedai-kedai pengedar rasmi kelengkapan gaming Razer.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd