Carian
Siri Asus ROG Phone 5s Akan Dilancarkan Di Malaysia Pada 8 Oktober
October 4, 2021 Amy Maizuraa

Asus dilihat cuba merancakkan lagi penawaran peranti keluarannya untuk pasaran tempatan. Melaluinya, mereka bakal memperkenalkan siri Asus ROG Phone 5s tidak lama lagi. Perkara ini diumumkan oleh pihak Asus menerusi perkongsian poster acah di Facebook rasmi, baru-baru ini.

Terdapat dua model yang akan diumumkan iaitu Asus ROG Phone 5s dan Asus ROG Phone 5s Pro. Turut kelihatan, tarikh pelancaran peranti telah dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini – iaitu 8 Oktober 2021. Ia akan diadakan secara atas talian menerusi laman Facebook rasmi Asus Malaysia bermula jam 9 malam.

Bercakap mengenai spesifikasi, Asus ROG Phone 5s Pro ialah model mercu dengan skrin 6.78″ AMOLED FHD dengan sokongan 144Hz. Ia juga dipadankan dengan cip Snapdragon 888+, memori sehingga 18GB RAM LPDDR5, storan sehingga 512GB UFS 3.1 dan bateri 6,000 mAh. Dengan sistem dwi-bateri, pengecasan pantas HyperCharger 65W disokong.

Kamera pula adalah 64MP + 13MP + 5MP dengan teknologi manakala kamera swafoto pula adalah 24MP. Tidak ketinggalan, ia juga disertakan sistem pembesar suara stereo dengan sokongan GameFX dan Dirac HD Sound. Di samping itu, ia juga dilengkapi dua pad sesentuh tambahan pada panel belakang bersama dengan butang bahu ultrasonik AirTrigger 5.

Untuk Asus ROG Phone 5s pula, ia mempunyai spesifikasi yang sama cuma tanpa dua pad sesentuh pada panel belakang. Kerana kedua-dua peranti hanya sekadar bertukar ‘enjin’ yang lebih berkuasa. Kesemua aksesori alat kawalan fizikal, sistem penyejuk dan kerangka khas yang ditawarkan untuk ASUS ROG 5 boleh digunakan juga pada model ini tanpa sebarang masalah. Sistem operasi yang digunakan pula masih Android 11 dengan pelancar ZenUI 8/ROG UI.

Sumber : Asus Malaysia

Komen