Jeff Bezos Dilihat Melaburkan Wang Dalam Startup E-Dagang Indonesia Ula

Diterbitkan pada Okt 4, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jeff Bezos mungkin telah meninggalkan jawatannya sebagai CEO Amazon, syarikat e-dagang terbesar di dunia, tetapi ia bukan bermakna bahawa dia sedang menikmati hari-hari persaraannya seperti orang biasa.

Hari ini, Tech Crunch telah melaporkan bahawa lelaki terkaya di dunia tersebut telah melaburkan wang dalam pusingan pelaburan terbaru syarikat startup e-dagang Ula dari Indonesia untuk melonjakkan nama syarikat tersebut sebagai salah satu daripada syarikat startup yang paling bernilai di pasaran Asia Tenggara.

Kelebihan Ula, walaupun ia sebuah syarikat e-dagang yang dilihat sangat baru di pasaran Indonesia, fokus syarikat ini ialah kepada pemerkuasaan bisnes-bisnes kecil dengan memudahkan mereka untuk bukan sahaja berdagang melalui platform mereka, tetapi juga menawarkan bantuan dari segi rantaian bekalan, penawaran pemasaran dan juga bantuan kredit untuk membesarkan perniagaan mereka.

Jeff Bezos dilaporkan telah membuat pelaburan melalui syarikat pelaburannya sendiri, Bezos Expeditions untuk jumlah yang tidak diketahui, tetapi menurut Ula sendiri, mereka baru sahaja melengkapkan pusingan pelaburan siri B terkini dan telah menerima dana sebanyak $78 juta bukan sahaja daripada pelaburan Bezos Expeditions, tetapi juga Sequoia, B Capital Group, Lightspeed Venture Partners dan sebagainya.

Pelaburan pada syarikat-syarikat startup e-dagang baru ini dilihat sebagai satu cara untuk Jeff Bezos dan Amazon untuk memasuki pasaran Asia Tenggara tanpa perlu syarikat tersebut mengeluarkan modal untuk membuka perniagaan baru.

Indonesia kini boleh dilihat sebagai salah satu daripada sekumpulan negara di Asia Tenggara yang mempunyai banyak syarikat startup dengan idea-idea yang memanfaatkan rakyatnya, disamping jumlah penduduk yang cukup ramai dimana kebarangkaliannya cukup tinggi bahawa apa-apa platform digital baru yang diperkenalkan, ia hampir pasti akan digunakan oleh berjuta-juta rakyat negara tersebut.

Sumber: TechCrunch

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami